Thursday, June 18, 2009

Halatuju Pelajar Muslim..anda dimana??


Bila ditanya pada saya, antara belajar, bersukan, bekerja, dan memasak, mana satu yang paling saya suka? Kalau saya, semua saya suka..hehe..betul, saya suka buat semua yang disebutkan tu. Mungkin belajar dan memasak, perkara yang saya agak suka pada waktu ini. Saya seronok bergelar pelajar. Banyak kelebihan semasa kita pegang “title” belajar. Contohnya, kalau kita buat salah, orang tidak akan terus menghukum kita..”ala.. tak mengapa la.. dia kan budak lagi, baru nak belajar” betul tak? Setuju tak dengan saya?

Kalau kita perhatikan dan fikirkan semula, anda setuju tak jika saya katakana bahawa pelajar adalah golongan muda yang TERPILIH dan mempunyai POTENSI yang besar. Justeru itu, golongan pelajar ini perlu diprogramkan agar mereka dapat berperanan seperti yang sepatutnya. Anda setuju? Baik, cuba kita fikirkan sekali lagi. Apa yang akan terjadi kepada masa depan Islam apabila pelajar yang ada pada hari ini sudah rosak serba serbinya?? Tidak perlu tengok jauh sangat, tengok diri kita dahulu, tengok adik-adik kita yang ada di sekolah sekarang, bagaimana?? Agak-agak, sudah nampak ke belum masa depan Islam? Ke masih kabur-kabur kelabu asap? Ataupun cerah gemilang dan bergemerlapan?

Anda kenal dengan pejuang-pejuang Islam masa lampau? Mereka yang sama-sama hidup pada zaman Rasulullah dulu. Mereka adalah pemuda yang sentiasa menegakkan kebenaran Islam. Tidak ketinggalan juga pejuang-pejuang Islam di abad ini. Imam Hassan Al-Banna, Mujahid Fathi Yakan, Abu A’la Al-Maududi, As-Syahid Syd Qutb telah menunjukkan kesungguhan mereka sebagaipejuang Islam sejak dari muda lagi, bahkan mereka mereka merupakan pejuang-pejuang yang sentiasa meniupkan roh Islam dan jihad kepada pelajar-pelajar Islam.

Pelajar muslim perlu dididik dan diproses serta diberi tumpuan terutamanya dari kalangan mereka yang berada di institusi pengajian tinggi agar mereka mamiliki haluan yang betul, serta mampu melaksanakan misi dan visi yang betul seperti yang terkandung dalam Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW. Allah berfirman di dalam Al-Qur’an yang bermaksud;

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan Ku yang lurus maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa”(Surah Ai-An’am:153)

Saya masih lagi seorang pelajar (pelajar tua..huhu), mungkin kamu juga masih lagi belajar. Baik, saya tanya kamu beberapa soalan, kes buang bayi yang berlaku baru-baru ini di Kuantan, siapa yang lakukan? Cek semula surat khabar ya.. seterusnya, pusat serenti di serata negara kebanyakannya dihuni oleh siapa ya? Saya yakin kamu lagi arif tentang hal ini. Kamu yang mengharungi dunia pelajar, kamu lebih tahu.

Masalah pelajar Islam hari ini mendapat liputan hebat media massa. Boleh dikatakan setiap hari terpampang di dada-dada akhbar memaparkan gejala social dikalangan remaja sekolah dan anak-anak muda. Pelbagai pihak memberi maklum balas dan sama-sama membantu kea rah penyelesaian. Sehingga kini pelbagai program telah dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah tersebut, akan tetapi ianya kian menjadi-jadi seolah-olah kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

Mengapa? Pernah Tanya soalan ni? Sudah jumpa jawapan?

Hakikatnya para pelajar Islam pada hari ini sebenarnya tidak mempunyai matlamat yang betul dalam kehidupan mereka. Mereka membuat sesuatu di atas dasar pilihan nafsu dan keseronokan semata-mata. Mereka juga hilang identity sebagai pelajar muslim. Ok, kita buat sedikit kaji selidik dalam diri kita sendiri ya.. adakah kita sudah layak digelar pelajar muslim?

Adakah kita mampu memantulkan nilai Islam kepada kawan-kawan kita apabila mereka melihat kita?

Adakah kita sendiri sudah mengambil nilai-nilai yang telah digariskan oleh Allah secara sempurna?

Sudah ada jawapan?

Jika jawapan untuk di atas tadi ‘TIDAK’ maka jiwa kita sebenarnya masih kosong dari keimanan yang sebenarnya. Jiwa kita juga telah dihinggapi pelbagai penyakit yang menyebabkan kita terjebak dengan gejala maksiat dan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Dalam hal ini kita sebenarnya perlu memberi kesedaran dan kefahaman yang betul pada diri kita agar kita (pelajar) memahami erti, peranan dan haluan hidup kita di dunia ini.

Kepada yang menjawab ‘YA’. Alhamdulillah.. Tahniah ya, anda bijak. Anda faham akan peranan anda yang sebenarnya..

Kepada yang main-main tu, Allah tahu ya.. jaga-jaga..

Langkah seterusnya, Apa yang patut kita buat? Bagaimana baru kita boleh bergelar pelajar Muslim yang sebenar? Disini, saya bagi 3 points tentang Haluan Pelajar Islam.

1. Memahami Konsep Hidup yang betul.

Para pelajar sekelian, memahami konsep hidup yang betul adalah sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan setiap individu muslim. Tanpanya seseorang itu akan menjalani kehidupan yang salah dan menyeleweng serta menyimpang jauh dari landasan Islam yang sebenar. Hidup seorang muslim itu sebenarnya;

HIDUP UNTUK IBADAH IAITU MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT

HIDUP UNTUK ISLAM IAITU BERJUANG DAN MENEGAKKAN ISLAM DALAM SELURUH ASPEK KEHIDUPAN DEMI MENCARI KEREDHAAN ALLAH SWT

Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia supaya mereka mengabdikan diri kepada Ku”(Surah Az-Zariyat: 56)

Ini bermakna kehidupan yang betul adalah kehidupan yang mengabdikan diri kepada Allah, kehidupan yang berdasarkan petunjuk dan panduan Allah, formula Allah serta nilai-nilai Allah SWT, bukan selain apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh itu, konsep hidup yang lain adalah sesat dan tidak ada authority untuk mengambil tempat Allah kerana yang lain itu lemah dan tidak mampu menjadi formula hidup manuasia.

“Sesungguhnya added di sisi Allah ialah Islam” (Surah Ali Imran:19)

“Apakah mereka mencari Deen yang lain daripada Deen Allah padahal kepadaNyalah menyerah diri segala apa yang dilangit dan dibumi baik dengan suka mahupun terpaksa dan kepada Allah mereka akan dikembalikan”(Surah Ali-Imran:83)

“Dan sesiapa yang mencari Deen selain dari Islam maka tidaklah akan diterima darinya dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi”(Surah Ali Imran:85)

Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawasanya para pelajar mestilah mempunyai haluan yang betul iaitu mengambil Islamsebagai cara hidup dan perlu mempunyai pandangan yang jelas dan jauh serta menetapi apa yang terkandung dalam wahyu Allah iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah Rasulullah SAW.

2. Objektif yang betul dalam menuntut ilmu

Tujuan menuntut ilmu bukanlah bermatlamat ilmu semata-mata tetapi merupakan jalan untuk memahami dan menguasainya bagi melaksanakan ubudiyah kepada Allah. Tujuan menuntut ilmu juga adalah untuk melaksanakan petunjuk Allah dimana menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap muslim sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap muslimin dan muslimat”

Antara tujuan lain menuntut ilmu ialah untuk membina kekuatan ummah Islam dan untuk mencari kemaslahatan masyarakat manusia. Membina kekuatan umat merupakan salah satu tanggungjawab para pelajar kerana merekalah bakal pemimpin pada masa depan. Oleh yang demikian, kemaslahatan ummah banyak bergantung kepada pemimpin dan kepimpinannya. Menuntut ilmu di dalam Islam bukanlah sekadar mencari habuan dunia, wang ringgit dan harta benda tetapi ianya merupakan suatu usaha untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah dan Khalifah Allah dimuka bumi ini.

3. Berperanan menegakkan Deen Allah dan mengembalikan kekuasaan ditangan Islam.

Para pelajar Islam mestilah memahami bahawa mereka wajib memainkan peranan untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan keamanan sejagat iaitu dengan cara mengembalikan system Islam memerintah ala mini. Para pelajar Islam juga perlu berusaha sedaya upaya mungkin menjadikan diri mereka sebagai pekerja Islam dan penda’wah kearah melahirkan ummah Islam yang iltizam dengan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Firman Allah dalam Al-Qur’an yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keselutuhannya....” (Surah Al-Baqarah: 208)

Para pelajar Islam sama sekali tidak boleh lupa bahawasanya antara tugas seorang muslim itu adalah menegakkan yang ma’ruf iaitu mengajak manusia menegakkan dan mendaulatkan ajaran Allah dan mencegah kemungkaran, melarang manusia dari melakukan larangan Allah dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklan ia cegah denagn tangannya (kuasa), sekiranya tidak mampu, cegahlah dengan lisan, seandainya tidak mampu juga, cegahlah dengan hati, itu yang paling lemah imannya”

Sehubungan dengan itu, Allah berfirman yang bermaksud;

“Wahai Rasul, sampaikanlah apa-apa yang diturunkan kepada kamu dari Rabb kamu. Dan jika kamu tidak mengerjakannya, maka tidaklah kamu menyampaikan risalahNya. Allah memelihara kamu daripada manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir” (Surah Al-Maidah:67)

Bagaimana?

Sudah ada matlamat yang jelas sebagai seorang pelajar muslim?

Untuk entry akan datang, saya akan kongsikan tentang pelan tindakan untuk menjadi seorang pelajar muslim yang cemerlang pada abad ini.Insya Allah... doakan saya ya

By:Besi the heartless

Rujukan:Siri Abdullah Akhili dan Azizan Ahmad. Motivasi Pelajar Muslim: HALACARA PELAJAR MUSLIM ABAD KE 21. Istiqamah Enterprise, 1998

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...