Bila ada seseorang bertanya kepada kamu;
“Apakah itu cinta??”
Apakah jawapan kamu?
Cinta adalah KECENDERUNGAN HATI. Tersuka,tersyok.. adakah kamu pernah tersuka pada seseorang? Atau adakah hati kamu pernah ter jatuh tangga cinta kerana seseorang?
Orang yang tidak pernah tersuka kepada sesipa adalah tidak normal, dan tidak sihat..huhu..
Kena check balik dekat doktor. Sebab perasaan cinta adalah fitrah. Islam amat memahami fitrah. Sebab Islam adalah agama yang fitrah. Selagi mana perasaan itu berlegar disudut hati dan kita bermujahadah memeliharanya, maka perasaan itu masih kekal fitrah. Malah kita akan mendapat pahala yang besar dari Allah sebab kita telah buktikan pada Allah yang kita seorang yang bermujahadah apabila diuji dan dicabar dengan dugaan cinta.
Tetapi,apabila fitrah ini disalurkan pada tempat yang ma’siat pada tempat yang Allah tidak redha-mula nak sms, telefon, nak tulis surat kepada si dia tanpa pengetahuan orang lain-maka ia bertukar menjadi fitnah. Di saat inilah cinta bukan sesuatu yang fitrah tetapi fitnah pada diri kita.
Kita bukan nak bendung atau menghapuskan cinta yang mekar dalam hati kita, tapi kita nak salurkan ke tempat yang sesuai, berdasarkan siapa orangnya, masa dan keadaan. Semua ini boleh ditentukan dengan kaedah istikharah dan musyawarah.
Bila disebut istikharah, ada ramai yang mengadu,
“Saya sudah istikharah, tapi tidak nampak pun tanda dalam mimpi?”
Jadi bagaimana? Perlukah lakukan istikharah lagi? Kamu pernah lalui benda ini? Kita istikharah, tapi tak nampak apa-apa. Sebenarnya bila kita tidak nampak apa-apa itulah petunjuk. Bila kita istikharah, jangan harap kita akan dapat mimpi pada malam itu. Mimpi itu cuma bonus sahaja. Istikharah adalah sesuatu yang Allah bagi ketenangan pada kita untuk membuat sesuatu keputusan. Kalau tak dapat mimpi pun, tapi kita tenang ketika membuat keputusan, itu adalah petunjuk dari Allah sebenarnya.
Sebagai contoh, ada seseorang yang masuk merisik seorang wanita. Apabila wanita itu istikharah, dia tidak merasa apa-apa daripada istikharah yang dilakukannya itu, itu pun petunjuk dari Allah sebenarnya. Sama ada mungkin bukan masa yang sesuai ataupun bukan orang yang sesuai untuk berkahwin. Jadi, wanita tersebut patut bersabar untuk memilih jalan mujahadah. Sehinggalah tiba masa yang sesuai, Insya Allah, Allah akan memudahkan jalan baginya. Allah akan berikan orang yang terbaik untuk dia. Itulah kemanisan daripada bermujahadah dan kepercayaan kita kepada Allah.
Kita jangan sekali-kali paksa Allah, nak nampak juga, nak Allah tunjukkan juga dalam mimpi. Sebagai contoh bila kita melakukan istikharah dan kita tidak rasa apa-apa kita minta juga Allah tunjukkan siapa orangnya, dimana orangnya. Betapa tak beradabnya kita dengan Allah, minta Allah buat juga apa yang kita kehendaki. Dimana akhlak kita dengan Allah?
Selain itu,sekiranya kita tidak menjaga kebersihan hati kita, sebagai contoh kita dating sana, dating sini, sms sana, sms sini, sudah tentu dalam mimpi kita akan ternampak wajah orang yang kita dambakan. Sebab itu istikharah ada caranya juga. Kita seharusnya sucikan diri kita dari sebarang dosa dan noda terutamanya kebersihan hati kita daripada ikatan-ikatan yang tak syara’. Kita mahukan petunjuk daripada Allah, dan petunjuk merupakan satu benda yang suci. Sesungguhnya petunjuk yang suci tidak akan masuk ke dalam hati orang-orang yang membuat ma’siat dan perkara yang Allah tidak redha.
Kesan kepada rumah tangga yang berlandaskan cinta yang tidak syara’. Terlalu banyak contoh-contoh perpecahan rumah tangga yang terjadi dewasa ini. Dan kebanyakannya hasil daripada hubungan yang tidak diredhai Allah sebelum berkahwin. Rasulullah ada memberi petunjuk kepada kita supaya memilih faktor beragama yang paling utama. Bukan suka-suka Rasulullah ajar kita begitu, ada sebabnya.
Faktor-faktor yang lain seperti kecantikan, harta, keturunan dan seangkatan dengannya merupakan faktor yang rapuh, yang tidak jelas. Contohnya kecantikan. Andai kata kita sebagai wanita tahu, seorang lelaki itu suka kita disebabkan oleh faktor kecantikan kita, hati-hatilah. Pilihlah yang lain, bukan lelaki itu. Sebab apa? Sebab bila rumah tangga sudah didirikan dan si lelaki tadi berjumpa dengan orang lain yang lebih cantik lagi dari si wanita tadi, kebarangkalian untuk lelaki tadi nak menggatal tinggi. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, maka kita seharusnya tolak tawaran pinangan dari lelaki yang sebegini.
Ada orang yang kahwin sebab kelebihan. Seorang lelaki nampak dan tertarik pada seorang wanita yang bijak, pandai, menonjol dan sebagainya. Ada satu kisah, seorang lelaki yang mengahwini seorang wanita kerana faktor kelebihan yang dimiliki oleh wanita yang disukainya itu. Apabila pasangan ini melangkah ke alam rumah tangga, apa yang terpampang di mata lelaki hanyalah kelemahan wanita tersebut. Lelaki itu berasa kecewa kerana terlalu banyak kelemahan yang dia nampak selepas berkahwin. Ini kerana dasar yang diambil adalah rapuh pada saat dia ingin mengahwini wanita tersebut.
Begitu juga sekiranya faktor keturunan baik-baik dan berharta dijadikan dasar dan asbab seseorang itu berkahwin. Terdapat satu kisah, seorang wanita yang sangat kaya berkahwin dengan seorang lelaki yang sangat kaya juga. Malah lahir dari keturunan yang terhormat. Selepas mendirikan rumah tangga, si lelaki yang mempunyai kerja yang baik beserta gaji yang lumayan mendesak si wanita iaitu isterinya tadi supaya bekerja juga bagi menampung perbelanjaan harian mereka. Padahal, kalau hendak diikutkan, gaji yang dimiliki oleh si suami tadi lebih dari cukup untuk tampung kehidupan. Tetapi, dia masih berasa tidak cukup dengan apa yang ada. Sebab apa? Sebab dasar tidak jelas dan Allah membalas dengan hinaan terhadap perkara yang dijadikan sebab perkahwinan tadi.
Jadi, na’udzubillah, jauhkan diri kita dari memilih dasar-dasar yang rapuh semasa memilih pasangan hidup. Kerana perjalanan kita lagi mencabar untuk menuju ke syurga nanti. Oleh itu, pilihlah dasar agama sebagai sebab untuk berkahwin. Perlu diingatkan juga, dasar agama ini bukan dipandang pada fizikal dan luaran sahaja. Sebagai contoh, apabila wanita dirisik oleh seorang yang berkopiah, bersolat, hafal Al-Qur’an, Masya Allah..betapa hebatnya dia. Tetapi dalam masa yang sama, lelaki ini masih lagi sms, telefon wanita itu dengan kerap sebelum berkahwin. Yang ni macam mana pula?? Seharusnya wanita tidak redha lagi dengan lelaki sebegini.
Rasulullah ajar kita supaya menerima seseorang yang kamu yakini akhlak dan agamanya. Walaupun nampak soleh, hafal Al-Qur’an dan sebagainya, tetapi syara’ tidak dijaga,bagaimana kita nanti? Sepatutnya dia seorang yang membawa kita ingat Allah bukan jadikan kita lalai dan larut dengan sms atau emel-emel yang mengasyikkan sehingga terjejas ibadah. Bagaimana kita hendak ke syurga Allah nanti?? Sebab itulah kita seharusnya memilih orang yang menjaga syara’ dan wara’. Sekiranya lelaki itu inginkan seorang wanita kerana faktor agama, Insya Allah dia telah berpijak diatas dasar yang jelas dan abadi hingga ke syurga.
Sekiranya seorang menyatakan pada kita bahawa dia menyukai kita atas dasar cinta kepada kita, percayalah dia telah melakukan syirik. Sebagaimana kata-kata Zainab Al-Ghazali:
“Jika orang yang mengasihi kamu kerana cinta,maka dia telah melakukan syirik”
Mengapa? Sebab seharusnya kita mencintai seseorang itu kerana Allah, bukan kerana cinta. Jadi sama-samalah kita renungkan kembali, di mana kedudukan hati kita yang sebenarnya dalam menghadapi cabaran cinta yang diberi Allah ini. Wallahu’alam
Edited from forum ‘C.I.N.T.A’
Panel: kak Fatimah syarha
By: Besi the Heartless
1 comment:
assalammualaikum. kalau kita suka seseorang tuh, perlu tak solat istikharah? :)
Post a Comment