Monday, September 16, 2013

Kejang perut ketika Mengandung

Adakah kejang perut sesuatu yang normal semasa hamil?

Ya. Kekejangan dan kesakitan lain di perut adalah normal. Jika ia berlaku tanpa simptom-simptom yang lain, tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Membawa bayi dalam kandungan memberi banyak tekanan ke atas otot-otot, sendi dan urat-urat anda. Maka tidak hairanlah jika anda rasa tidak selesa di bahagian perut.

Ada apa-apakah yang boleh saya lakukan untuk melegakan kekejangan?

Ya, ada beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk melegakan kekejangan yang biasa dialami wanita hamil.

Sepanjang kehamilan, tisu-tisu kenyal (ligamen) yang menyambungkan tulang-tulang anda akan meregang. Apabila anda bergerak, ini boleh menyebabkan sedikit kekejangan pada satu atau kedua-dua belah badan. Anda mungkin dapati kekejangan berlaku lebih kerap pada bahagian kanan. Ini kerana, apabila bayi anda semakin membesar, uterus (rahim) anda lebih berkemungkinan untuk menyenget ke kanan.

Ligamen anda meregang untuk menyokong uterus anda yang sedang membesar. Cubalah duduk dan lihat jika ini dapat mengurangkan kesakitan. Atau baring mengiring ke arah bertentangan dengan kawasan yang sakit itu dan tinggikan kaki anda. Berehat apabila kesakitan berlaku biasanya akan mengurangkan kekejangan. Anda juga boleh mandi mandian hangat atau tuam bahagian yang sakit itu dengan menggunakan botol berisi air panas. Pada masa yang sama, cubalah berehat.

Kadang-kadang, anda juga boleh mengalami kekejangan dan sakit belakang semasa bersama suami, terutamanya ketika mencapai orgasme. Orgasme menyebabkan denyutan berombak dalam faraj sehingga ke uterus, dan ini boleh menyebabkan anda rasa seakan-akan kekejangan setelah ia selesai. Hubungan kelamin semasa hamil boleh membuat keadaan ini terasa lebih seperti kekejangan jenis kontraksi, terutamanya dalam trimester ketiga.

Anda boleh mengurangkan kemungkinan berlakunya kekejangan ini dengan melakukannya dengan lembut dan perlahan. Urutan belakang yang lembut selepas mencapai orgasme juga mungkin membantu.

Bagaimana jika saya rasa tidak sihat dan mengalami kekejangan?

Kekejangan yang berlaku seiring dengan rasa tidak sihat tidak mempunyai kaitan dengan kehamilan. Penyakit apendiks, batu karang, jangkitan salur kencing atau masalah pundi kencing kesemuanya boleh menyebabkan kekejangan perut.

Ada kemungkinan kehamilan menyebabkan masalah ini. Fibroid dalam uterus yang sebelum ini tidak mengganggu anda mungkin akan membuat anda tidak selesa apabila anda sedang hamil.

Ingatlah apa yang anda rasakan dan beritahu doktor anda mengenainya. Doktor anda boleh memastikan samada kesakitan ini adalah kesakitan biasa atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, jangan tunggu untuk mendapatkan bantuan jika kekejangan itu tidak hilang selepas beberapa minit anda berehat, atau jika ia disertai dengan:

Bilakah kekejangan menjadi satu kebimbangan dalam trimester pertama?

Kejang perut biasanya tidak perlu dibimbangkan jika berlaku semasa awal kehamilan. Tetapi kadang kala jika ia disertai dengan simptom-simptom yang lain, anda mungkin perlu berjumpa doktor.

Keguguran awal
Malangnya, keguguran awal biasa berlaku. Ia biasanya berlaku kerana bayi tidak berkembang dengan sepatutnya. Berikut adalah maklumat lanjut mengenai keguguran awal:
  • Apakah yang akan saya rasa? Kekejangan disertai dengan pendarahan dan kesakitan di tengah-tengah bahagian bawah perut.
  • Bilakah ia akan berlaku? Bila-bila masa sehingga minggu ke-12 kehamilan.
  • Apakah yang harus saya lakukan? Hubungi doktor anda untuk mendapatkan nasihat. Kemudian baring atau duduk dengan kaki ditinggikan dan berehatlah sebaik mungkin. Jika anda mengalami pendarahan yang teruk (sehingga terpaksa menggunakan lebih daripada satu tuala wanita dalam satu jam), terus pergi ke bahagian kemalangan dan kecemasan di hospital berdekatan.

Kehamilan di luar rahim
Sepertimana namanya, kehamilan di luar rahim adalah kehamilan yang berkembang di luar uterus (rahim). Malang sekali, kehamilan seperti ini tidak dapat diselamatkan. Ia merupakan satu masalah yang serius, maka anda perlu mendapatkan rawatan segera. Hanya kira-kira satu dalam 100 kehamilan berlaku di luar rahim. Berikut adalah maklumat lanjut mengenainya:
  • Apakah yang akan saya rasa? Kekejangan yang disertai dengan kesakitan yang biasanya bermula dari satu bahagian perut dan kemudian berlanjutan ke bahagian yang satu lagi. Ia juga disertai dengan pendarahan berwarna gelap yang agak cair.
  • Bilakah ia akan berlaku? Biasanya di antara minggu keempat dan ke-10 kehamilan.
  • Apakah yang harus saya lakukan? Hubungi doktor anda serta-merta. Kehamilan di luar rahim memerlukan rawatan segera.

Bilakah kekejangan menjadi satu kebimbangan dalam trimester kedua?

Kejang perut yang tidak disertai simptom-simptom lain dalam trimester kedua mungkin tidak perlu dibimbangkan. Namun jika ia disertai pendarahan, ada kemungkinan kecil ia merupakan tanda keguguran lewat.

Ingatlah bahawa keguguran lewat lebih jarang berlaku berbanding keguguran awal. Hanya kira-kira satu dalam 100 keguguran berlaku pada tahap kehamilan ini. Berikut adalah maklumat lanjut mengenai keguguran lewat:
  • Apakah yang akan saya rasa? Kekejangan disertai dengan pendarahan yang banyak.
  • Bilakah ia akan berlaku? Di antara minggu ke-12 dan ke-23 kehamilan.
  • Apakah yang harus saya lakukan? Jika anda mengalami sedikit pendarahan faraj atau rembesan, hubungilah doktor anda untuk mendapatkan nasihat. Jika anda mengalami pendarahan yang teruk, pergi terus ke hospital berdekatan.

Bilakah kekejangan menjadi satu kebimbangan dalam trimester ketiga?

Sampai ke trimester ketiga bermaksud anda hampir tiba ke penghujung kehamilan. Kejang perut mungkin bermakna badan anda telah mula bersiap sedia menghadapi proses kelahiran, maka perkara utama yang perlu dibimbangkan ialah kelahiran pramatang.

Jika anda sakit bersalin awal, ini tidak semestinya bermakna anda akan bersalin ketika itu. Kadang kala, selagi air ketuban anda belum pecah, ia hanyalah sakit biasa. Berikut ialah keterangan lanjut mengenai kelahiran pramatang:
  • Apakah yang akan saya rasa? Rasa sakit di bahagian pelvis atau bawah perut, sakit belakang, sedikit kejang perut, cirit-birit. Anda juga mungkin rasa air ketuban mula pecah, serta kontraksi yang sekata atau uterus anda menegang, tetapi biasanya tidak menyakitkan.
  • Bilakah ia akan berlaku? Bila-bila masa di antara minggu ke-23 dan ke-37 kehamilan.
  • Apakah yang perlu saya lakukan? Hubungi doktor anda serta-merta. Jika anda rasa air ketuban anda telah pecah, telefon pihak hospital dahulu.
Kekejangan yang berlaku selepas minggu ke-37 kehamilan mungkin bermakna anda telah masuk ke peringkat awal kelahiran. Pada peringkat ini, kekejangan bukan lagi satu kebimbangan. Ia adalah sebahagian daripada cara badan anda bersiap sedia untuk melahirkan. Anda juga mungkin akan rasa sakit pada bahagian bawah pinggang yang disebabkan oleh tekanan yang bertambah pada pelvis dan belakang anda.

Kekejangan semasa peringkat awal pelahiran tidaklah seteruk kontraksi yang akan anda alami dalam peringkat pelahiran aktif. Anda mungkin dapati berehat di atas sofa atau berjalan-jalan dapat membantu. Jika anda dapat mencari cara tersendiri untuk menangani ketidakselesaan ini sekarang, ia akan membantu anda apabila tiba ke peringkat pelahiran aktif nanti.

Berbuallah dengan ibu-ibu lain mengenai simptom-simptom kehamilan anda. Anda boleh berjumpa mereka dalam forum Kehamilan kami hari ini.

Semakan terakhir: September 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...