Thursday, July 29, 2010

MINDA BISTARI #48 - KHALIFAH GANTI SUPERMAN

MINDA BISTARI #48 - KHALIFAH GANTI SUPERMAN

Posted On July 29, 2010


 TanSriAli.jpg

Tan Sri Muhammad Ali is Chief Executive Officer of Johor Corporation (JCorp), and has been CEO since January 1, 1982.

(Artikel ini diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 29 Julai 2010)

Andai ditanya kepada anak kecil, nak jadi kuat macam siapa, pasti ramai yang menjawab, "Superman!". Anak-anak pasti mengenali Superman sebagai superhero perkasa yang memiliki kuasa hebat dan luar biasa. Terbang melayang di udara, mengangkat kereta, gagah dan kebal, menangkis peluru dan membengkokkan besi, membasmi jenayah dan menyelesaikan segala masalah - semuanya mudah bagi Superman.

Pelik dan ajaib bukan? Watak hebat ciptaan Barat ini begitu berjaya menguasai minda anak-anak Melayu khasnya sehingga mereka terlupa watak superhero bangsa mereka sendiri, misalnya sama ada mitos seperti Badang dan Hang Tuah berlima saudara, mahu pun Raja Haji, Panglima Salleh dan lainnya yang telah terbukti kegagahan mereka dalam sejarah perjuangan Melayu. Namun, Barat berjaya mencipta imej khayalan ini (termasuk juga watak superhero lain) sehingga menjadi begitu sinonim dan melekat dalam jiwa moden. Tambah pelik apabila anak-anak Melayu tetap memilih Superman sebagai idola biar pun superhero tersebut nampak luar biasa dan songsang dengan memakai seluar dalam berwarna merahnya di luar!

Yang ingin saya sampaikan dalam siri rencana kali ini sebenarnya berkaitan dengan watak Superman dan hubungkait dengan pengaruhnya terhadap corak kepimpinan dan pengurusan organisasi.

Sesungguhnya, tidak hairan jika terdapat pemimpin organisasi yang berminat mempunyai kelebihan seperti Superman. Banyak masalah yang boleh selesai. Lebih penting, keupayaan diri yang luar biasa memberi kelebihan dan kuasa penuh pada dirinya. Pemimpin mana yang tidak mahu diberi sepenuh kuasa, kebebasan bertindak dan tumpuan segala sanjungan dan menjadi tempat pergantungan harapan semua dalam organisasi.  Kedudukan istimewa menjadikannya 'kebal' dan sebagai pemimpin organisasi ia tidak terancam atau digugat oleh sesiapa.

Namun perhatikan betapa watak Superman ini, sekalipun hanya khayalan dan ciptaan imaginasi, sebenarnya boleh merosakkan. Pertama, ia sengaja diperkenal orang kulit putih di zaman ketika agenda supremasi berteraskan warna kulit ditonjol untuk menanam semangat mendominasi dunia, menguasai dan membolot segala-galanya bagi kepentingan mereka. Ia membuat kita berwatak rakus dan serakah. 

Yang tidak kurang penting, watak Superman juga menegaskan nilai masyarakat Amerika khasnya yang mendewa dan mengutamakan kepentingan individu di atas segala yang lain. Ia menggalakkan sikap nafsu-nafsi. Nilai individualistik ekstrem ini sebenarnya ditonjol dan dijelmakan menerusi watak Superman yang seharusnya kita di Timur, khasnya di kalangan umat Islam perlu berhati-hati dan waspada.

Bahayanya, organisasi dalam masyarakat Islam, sama ada dalam politik, pentadbiran, bisnes, korporat, NGO dan organisasi sosial kerap dilihat cenderung ke arah mempelajari dan meniru budaya organisasi seperti ini, kadang kala tanpa disedari. Di sini antara puncanya timbul watak 'little Napoleon' dan 'raja-raja kecil' dalam organisasi yang sering diperkatakan hari ini.

Kelihatan ini berlaku kerana pengikut dan orang bawahan dengan secara tidak langsung dan tanpa berfikir, telah mengizinkannya. Dalam buku 'Membujur Lalu…." yang saya tulis pada 1996, pernah saya nyatakan bahawa dalam konteks masyarakat Malaysia dan Melayu khasnya, terdapat tiga corak budaya warisan yang mempengaruhi pembentukan budaya organisasi terutama yang majoriti anggotanya adalah Melayu. Tiga corak budaya ini adalah budaya melukut, feudal dan penjajahan.  

Budaya melukut sekiranya menjadi ciri yang mendominasi suasana kerja dalam organisasi, mudah sekali menjadikan pemimpinnya Superman. Istilah budaya melukut, diambil daripada perumpamaan Melayu "seperti melukut di tepi gatang", merujuk kepada sikap terlalu merendahkan diri sehingga menganggap terlalu kerdil, tidak penting dan langsung tidak berupaya membawa apa-apa kesan atau pengaruh kepada sesebuah organisasi. Satu contoh terbaik sikap melukut ialah mereka yang mengasingkan diri dan tidak sanggup ke depan untuk menyuarakan idea dan pandangan masing-masing. Malu, segan, takut, bimbang ditertawakan, hina dan sebagainya bercampur-baur sehingga akhirnya membunuh keyakinan dan buah fikiran.
 
Orang yang membawa sikap melukut adalah juga orang yang mengizinkan dirinya dilabel sebagai "kakitangan" dalam organisasi. Hampir semua organisasi dalam masyarakat hari ini menggelar anggotanya sebagai "kakitangan". Dalam suasana begini, tidak hairan 'little Napoleon' dan Superman bermaharajalela, kerana majoriti dominan dalam organisasi mengambil sikap tidak peduli atau menganggap mereka tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengubah suasana.

Dalam Johor Corporation (JCorp), sebagai sebuah organisasi korporat pelbagai bisnes melibatkan lebih 280 syarikat dan 65,000 pekerja, saya kerap ditanya bagaimana menghasilkan keberkesanan dan kecemerlangan. Soalan paling kerap ialah bagaimana cara organisasi besar dan kompleks ini dikawal rapi supaya sentiasa cergas, dinamis, berdaya kreatif dan inovasi sehingga menghasilkan prestasi tinggi. Semua ini memerlukan usaha gigih dalam banyak hal. Jawapan mudah dan ringkas yang kerap saya berikan ialah pertama, JCorp mengharamkan 'kakitangan', dan kedua, JCorp tegas dalam mengenepikan kepimpinan bercorak 'Superman'.

Sekalipun jawapannya mudah, proses mencapai sepenuhnya kedua matlamat ini, (satu ditujukan kepada perubahan menyeluruh sikap di kalangan anggota bawahan dan yang kedua pembaharuan sikap di kalangan barisan kepimpinan JCorp), adalah satu proses pembaharuan nilai budaya organisasi yang sangat mencabar.  Untuk memudahkan pelaksanaannya, semua perubahan dan pembaharuan yang JCorp lakukan dibuat selari dan serasi dengan nilai asas yang digariskan Islam. Organisasi seperti JCorp yang sebahagian terbesar anggotanya adalah Muslim, tidak dapat lari daripada membina kekuatan berteraskan nilai Islam.

Justeru, untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan dalam pengurusan organisasi menuntut satu usaha yang tegas, tersusun dan teratur yang ditujukan khas untuk mengikis dan mengenepikan semua corak budaya warisan yang asing, negatif dan bertentangan dengan Islam. Sikap mengiktiraf diri sebagai 'kakitangan' segera digantikan dengan semangat 'insan kamil' dan Superman digantikan dengan 'khalifah'! Kepimpinan dalam organisasi harus menggalakkan semangat jatidiri, keberanian dan kegagahan luar biasa di kalangan anggota sehingga mencapai maksud dan hakikat bahawa mereka sebenarnya 'khalifah' dalam bidang masing-masing.

Paling penting, jangan dibiarkan berakarnya sikap menurut dan mengikut membuta-tuli serta 'taat sia-sia' yang boleh merosakkan kepentingan jangka panjang organisasi. Keputusan yang mempunyai kesan strategik dan jangka panjang terhadap kepentingan organisasi seharusnya telus dan melibatkan seramai mungkin anggota agar benar-benar membawa impak positif terhadap pembaharuan sikap, selain menjayakan kebulatan serta keutuhan organisasi.

Budaya korporat yang mengutamakan percambahan ilmu pengetahuan di segala peringkat dan lapisan perlu diutamakan dan untuk itu, pemimpin tidak boleh berwatak Superman. Superman tidak langsung berminat membimbing dan mencurahkan ilmu pengetahuan dan hikmah pengalaman kepada orang lain dalam organisasi. Bagi Superman, adalah sia-sia ilmu dan keterampilan yang ada padanya disampaikan kepada orang lain, kerana kelebihan cuma terdapat pada peribadinya sendiri. Kalau ada pun yang boleh menjadi seperti mereka ialah daripada kalangan Superwoman atau keturunan darah mereka seperti Superboy atau Supergirl!

Tegasnya, adalah malang sekali bagi organisasi memiliki pemimpin berwatak Superman. Apa akan terjadi kepada organisasi dan perjuangannya akhirnya apabila ia tiada? Semua pemimpin akan beredar, atau akan menghadapi mati akhirnya. Ketika itulah organisasi terlibat dan seluruh perjuangannya akan tergugat. Di sinilah juga punca utama kenapa Melayu dan umat Islam amnya tidak dapat menghasilkan organisasi besar dan korporat gergasi yang berdayatahan melewati beberapa generasi. Di sinilah juga tewasnya kita di bidang bisnes dan ekonomi kepada Barat dan negara maju lain, apabila mereka terus ke depan mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada kesinambungan usaha berorganisasi zaman berzaman.

Di JCorp, kami sangat memberi perhatian terhadap isu ini, supaya pencapaian korporatnya dapat terus berpanjangan. Inilah sebab watak kepimpinan di JCorp tidak mencontohi watak Superman. Kuasa dan tampuk kepimpinan tidak dipusatkan kepada seorang CEO sahaja di puncak syarikat, bahagian bisnes dan organisasi. Keutamaan diberi kepada usaha membina barisan pemimpin bercorak kepimpinan berpasukan atau team leadership. Sekalipun bertindak dalam kumpulan, sistem pengambilan keputusan di JCorp mengizinkan CEO di peringkat bahagian bisnes masing-masing bertindak secara autonomi dalam konteks amalan syura.

Paling penting, dalam mengutamakan kesinambungan untuk mengekalkan kepentingan bisnes, aset dan harta korporatnya untuk manfaat jangka panjang bangsa, agama dan negara, JCorp dengan tegas mengambil langkah mewakafkan hak milik saham dalam syarikat strategiknya. Kenapa wakaf? Kerana JCorp bukan organisasi pimpinan Superman yang individualistik, rakus dan terlalu berkepentingan peribadi. Kerana JCorp mengutanakan jatidiri Melayunya, dan berjiwa Islam.

Dengan demikian, dalam konteks budaya korporat amalannya selama ini, sangat penting budaya syura dan nilai 'khalifah' atas semangat Jihad Bisnes JCorp serta proses organisasi yang dibina dan dipupuk berlandaskan tali ikatan Islam yang telah memberikannya kekuatan dan kegagahan bersaing di pasaran sehingga menghasilkan kecemerlangan selama ini, diterus dan dikekalkan. 

Tegasnya, jangan dibiarkan watak asing mengambil alih teraju kepimpinan organisasi seperti JCorp. Mana-mana pemimpin yang didatangkan dari luar JCorp tidak bersedia menjiwai perjuangannya serta aspirasi Jihad Bisnesnya, seperti yang sedia tertanam di sanubari barisan pemimpin pelapisnya. Jika makhluk asing seperti Superman di bawa masuk juga, iaitu jika amanah kepimpinan tidak diserah kepada 'yang ahli' seperti dianjurkan Islam, menurut maksud Hadis, kita semua cuma perlu menantikan kehancuran usaha atau kemusnahan organisasi terbabit.

Muhammad Ali Hashim
28 Julai, 2010



--
'Filter' kepada Kejahilan, 'Ubat' kepada Hati, 'Makanan' kepada Minda. Galeri Ilmu Online anda.

894BF73446A2F8474B9D6DA8EF5CCCD2.png

d192ebe14e2dafc89237ce49ef86e4ae.png

49cbe177b3af642cdbf6cb07dad1dc09.png

"Kini anda boleh membuat pembelian buku, cd, vcd daripada ikon-ikon terkenal seperti Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood, Dato' Ismail Kamus, Dr Zahazan Mohamed, Dr Irfan Khairi dan ramai lagi. Klik disini http://www.stormreaders.net/galeriilmu

stormreaders1.jpg
klik disini

ATAU Mulakan perniagaan menjual buku-buku agama, motivasi, ilmiah dan novel  dari rumah! Sertai sebagai Rakan Pengedar StormReaders2U, dan anda juga akan mempunyai e-store anda sendiri untuk menjana pendapatan tambahan melalui Internet. Kini, ramai yang telah berjaya memperolehi pendapatan tambahan setiap minggu sebagai Rakan Pengedar StormReaders2U.  StormReaders adalah perniagaan berangkaian 100% menurut syariah. Adakah anda berminat? Klik di sini http://www.stormreaders2u.net/r/galeriilmu/

mrushaidin@gmail.com atau nor259@gmail.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...