Friday, December 19, 2008

Ke mana hati tika di uji??

Tiada manusia yang tidak diuji dengan dugaan tekanan. Sama ada dirumah, pejabat atau keluarga, tekanan tetap ada. Malah tekanan itu dianggap sebagai lumrah dalam perjuangan dan hidup manusia sebagai hamba ALLAH

Ketika kelemahan kita sampai kepuncaknya, kita terasa diri kita hilang buat seketika. Jiwa kita terlalu lemah dan silau untuk melihat dunia. Kita putus asa dengan kehidupan. Kita teraba-raba mencari diri hingga akhirnya kita temui bahawa memang kita ini bukan apa-apa. Kita ini memang terlalu lemah dan kerdil, kita kini sedar bahawa kita sudah terlalu lama lupa diri. Kita terlupa bahawa memang kita ini terlalu kerdil, lemah dan hina.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW memberikan penawar untuk berdepan tekanan seperti sabda baginda yang bermaksud:

“ Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup keranan tidak ada satu bencana sama ada keranan terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan meningkatkandarjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan denagn kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut”
[riwayat al-Hakim]

Kita mendongak ke langit, meneliti alam yang begitu rapi dan tersusun dan kita melihat pada diri kita. Kita bertambah yakin bahawa kita ini bukan apa-apa, kita ini lemah, kita ini terlalu kerdil tetapi kita telah lupakan itu semua…….kita telah lupa diri kita siapa. Kita mula mengangkat tangan, kita tadahkan kedua tangan kita dengan penuh kerendahan dan kepasrahan. Kita menangisi kelalaian kita, kita mula insaf segala kesalahan dan dosa kita. Air mata mula mengalir membasahi wajah kita dan membersihkan segala kekotoran pada hati kita; dendam, kebencian, keraguan, kemarahan, keangkuhan dan kesedihan mengalir lalu bersama titisan air mata kita.

Kita terlena dalam munajat dan keinsafan kita hinggalah datang fajar baru dengan harapan baru. Kita bangun sebagai manusia baru; tiada lagi keangkuhan, dendam dan benci, tiada lagi kemarahan dan kesedihan. Kita melihat ke ufuk, kita melihat fajar baru menyerakkan cahaya baru, kita menoleh bumi sekelilingnya, yang kita lihat ialah kehidupan baru dengan jiwa yang baru. Dan kini kita bertambah yakin bahawa yang menghidupkan ialah Allah SWT, yang memberi kelapangan ialah Allah. Allahlah sumber kehidupan, sumber ketenangan dan kebahagiaan.

Ingatlah setiap ujian itu selalu seirng dengan perjuangan kita.Oleh itu, ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqomah. Ujian dijadikan tuhan adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba itu kepada ALLAH dan selurun ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau habta terhenti setakat di mulut sahaja.


Seperti mana yang kita ketahui, umat islam akan diuji denagn lima perkara iaitu saudara seagamanya yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafik yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semua ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terhadap ganjaran pahala yang besar dari ALLAH

Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan melemahkan semangat dan menerbitkan kekecewaan serta putus asa sedangkan ALLAH berfirman:

“Sesungguhnya tipa-tiap kesukaran disertai kemudahan"
(Surah al-Insyirah:6)

Ada beberapa perkara yang boleh di jadikan pegangan atau prinsip apabila berdepan dengan ujian dan tekanan hidup yang mungkin kita boleh kongsi bersama.

1. Manusia seringkali lemah jiwa dan merasakan dirinya terlalu kerdil apabila berdepan dengan ujian. Seringkali kita merasakan kitalah orang yang paling malang dan orang lain tidak diuji sepertimana kita diuji. Perasaan begini menjadikan kita lemah dan lesu hingga punca penyelesaian masalah menjadi kabur. Inilah bisikan kelemahan yang akan menjadikan jiwa kita kerdil dan lesu tidak bermaya. Besarkanlah jiwa kita........sebenarnya semua orang sedang dan akan berdepan dengan berbagai macam ujian bahkan ujian inilah tanda-tanda bahawa masih berlangsungnya kehidupan.

Sedarlah bahawa yang menjadikan kita tewas atau berjaya untuk berdepan dengan ujian bukanlah kecil atau besarnya ujian itu tetapi apakah sikap kita apabila berdepan dengan ujian tersebut. Jika kita menganggap suatu ujian itu besar maka jiwa kita kecil dan lemah tetapi jika kita melihat ujian itu sebagai lumrah dan kemestian hidup maka jiwa kita menjadi kental.

Adakah apabila kita kecewa dan manangis, segala permasalahan itu akan selesai sendiri? Adakah dengan menyalahkan diri sendiri, semua masalah akan selesai? Tentunya tidak. Jadi yang perlu kita lakukan ialah mencari punca masalah dan cuba menyelesaikannya mengikut kemampuan yang kita ada.

2. Janganlah melihat suatu musibah atau ujian itu secara bersendirian. Hadirkanlah Allah dalam kehidupan kita. Yakinlah dengan apa yang Allah janjikan. Sentiasalah hubungkan hati kita dengan Allah swt supaya segala penyelesaiannya bermuarakan keimanan kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah mengajarkan sahabat-sahabat supaya zikirkan "Innalillahi wa inna ilaihi rooji'un. Alllahumma jurni fi musibati wa akhlifli khairan minha" (Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali, Ya Allah berilah ganjaran daripada musibah yang menimpaku dan gantikanlah ia dengan kebaikan)apabila ditimpa musibah. Bahkan pada suatu hari pernah lampu/pelita Rasulullah SAW terpadam lalu baginda ucapkan innalillah... hingga sahabat bertanya "Adakah inipun musibah ya Rasulullah?" Jawab baginda "Apa saja yang menyulitkan mukmin adalah musibah".

Lihatlah musibah sebagai medan ubudiyyah kepada Allah SWT.


3. Ujian atau musibah juga adalah proses untuk kita membina kematangan hidup ianya umpama dapur pembakar yang akan mematangkan aqal dan fikiran kita. Tekanan dan ujian akan menjadikan jiwa kita lebih peka dan melatih kita untuk menggunakan segala potensi aqal dan jiwa yang kita ada. Aqal kita umpama tanah, lagi dalam kita gali, lagi banyak khazanah-khzanah yang kita temui tetapi jika hanya dipermukaan hanya sedikit yang kita boleh manfaatkan. Profesor Hamka pernah membandingkan ikan di sungai dan ikan dikolam. Katanya ikan disungai lebih sedap isinya kerana hari-hari ia menentang arus berbading ikan dikolam yang isinya hanyir kerna tidak banyak menentang arus. Begitu juga manusia yang setiap hari berdepan dengan ujian dan tekanan, jiwanya lebih kuat dan pendapatnya lebih bernas.

4. Fitnah dan ujian juga menjadi medan untuk kita mengenali diri kita. Boleh jadi kita rasa kita seorang yang sabar, tenang dan bertindak secara waras. Dalam keadaan biasa memang begitu tetapi apabila dalam keadaan tertekan semua sifat-sifat tadi tidak lagi menjadi penghias dan penyeri diri. Kita tiba-tiba menjadi seorang yang pemarah, emosional dan bertindak membuta tuli. Disnilah keimanan kita benar-benar teruji dan ternyata ramai yang gagal dengan ujian sebegini.

Imam Syafi’e pernah ditanya oleh seorang lelaki:

"Manakah orang yang lebih baik wahai Abu Abdullah! Seorang lelaki yang tetap teguh imannya atau seorang lelaki yang diuji imannya dgn segala ujian?"

Imam Syafi’e menjawab:

"Seseorang itu tidak mampu untuk tetap teguh imannya, sehinggalah beliau diuji terlebih dahulu. Allah Ta’ala telah menguji Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad ‘alaihim al-solat wa al-salam, ketika mana mereka bersabar itulah iman mereka diteguhkan".

Kesimpulannya apa yang penting, sering disematkan di dalam hati adalah, tanpa masalah atau ujian, tidak akan lahir kematangan kerana pengalaman dalam meyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan. Selain itu juga, meningkatkan keimanan kepada ALLAH kerana dengan ini, seorang hamba itu akan sentiasa muhasabah diri dan setiap tindakan mereka dikaji dan diperbatasi.

“Hidup ini bagaikan satu pelayaran yang sukar. Bersabarlah kerana sabar itu indah, sabar adalah bunga-bungaan dari keimanan yang benar. Harumannya ialah kepasrahan iaitu memandang baik segala keputusan Allah disamping meyakini hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Kelopak-kelopaknya diwarnai ketabahan, ketenangan, keteguhan jiwa sebagai lambang kepuasan dengan qadar Allah SWT”

Segala kegagalan, kejayaan, kekecewaan, kegembiraan adalah ujian-ujian buat hamba-hambanya. Di sini akan dilihat sama ada imannya telah diperteguhkan atau dia akan gugur seperti gugurnya orang-orang yang terdahulu dari mereka.

Setiap perjalanan kita sekali manapun dirundung perlbagai perkara yang menyakitkan dan sebagainya ia adalah satu ujian dan dugaan ALLAH yang memaparkan kaih sayang ALLAH kepada hambaNya dan setiap apa yang berlaku itu pasti akan ada hikmahNYA.

Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.
By:Bidadari Besi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...