Sunday, March 22, 2009

PEMUDA DAN PERUBAHAN

GENERASI PEMUDA DAN PERUBAHAN
BY: FATHI YAKAN

Pemuda dalam hubungan ini adalah medan yang subur untuk digunakan oleh semua aliran
yang mempercayai Strategi Perubahan ini.

Kenapa mesti Pemuda?
Kenapa fokus selalunya kepada pemuda?
Kenapa pergantungan sentiasa kepada pemuda?

Pada logik Islam, apabila kita bergantung kepada pemuda, bukanlah bermakna kita melupakan peranan orang-orang dewasa dan juga orang tua, atau memperkecil-kecilkan kedudukan mereka seperti fahaman Korainisme di mana seorang pemimpin mereka selepas revolusi telah menuntut supaya dihapuskan kesemua orang-orang tua supaya tidak menjadi beban kepada negara.

Menurut Islam setiap manusia ada peranannya. Setiap peranan harus diberikan haknya, tanpa ada rasa sensitif, tanpa ada pertentangan. Mengikut asas-asas dan kaedah-kaedah berikut:

1) Dirahmati Allah seorang yang mengenal batas dirinya dan dia melakukan apa yang
sepatut dilakukannya.

2) Bukan dari kalangan kita mereka yang tidak menghormati orang tua dan tidak mengasihani
anak-anak kecil.

3) Kebenaran itu diterima walaupun datangnya dari seorang anak kecil atau orang tua
walaupun ianya kerabat jauh yang tidak disukai, sementara kebatilan itu ditolak walaupun
datang dari anak kecil atau orang tua yang dekat lagi dikasihi.

Apabila skop tugas-tugas perubahan difokuskan kepada pemuda-pemuda maka ia adalah
sesuai dan selaras dengan kemampuan dan tugas mereka. Manusia dalam setiap peringkat usianya dalam kehidupan mempunyai kebolehan-kebolehan dan kemampuan-kemampuan yang sesuai dengan tugas—tugas yang tertentu.

Kadang-kadang mungkin tidak sesuai dengan semua tugas. Tugas pada masa usia kanak-kanak lain daripada tugas waktu usia muda pemuda, dan seterusnya lain pula dengan tugas dalam waktu usia dewasa dan hari-hari tua.

Tugas dan peranan pemuda Islam ialah melakukan "Perubahan" dan bukannya menempel atau memperbaiki, dan inilah yang sewajibnya berlaku. Tugas ini pada hakikatnya adalah tugas yang berat dan sukar tetapi ianya adalah tugas yang dituntut; dan tugas selain dari ini tidak mempunyai nilai. Malah tugas yang lain ini akan membawa bencana yang akan menangguhkan kemahuan para pemuda kepada perubahan, malah akan membawa kepada perjalanan seiring dengan realiti jahiliah yang ada dan cuba hidup bersamanya

Satu daripada ciri-ciri Islam ialah ianya bersifat "merubah." la menolak cara menempel atau memperbaiki. Ia tidak rela dengan penyelesaian separuh-separuh atau sesuku-sesuku, atau ia tidak ingin mengharuskan hidup bersama jahiliah.

Manhaj Rasulullah saw. dalam menghadapi jahiliah adalah bersifat 'taghyir' (merubah). Tatkala orang-orang Quraisy menemuinya untuk berkompromi supaya Rasulullah menyembah tuhan mereka selama sebulan dan sebagai balasan mereka akan menyembah tuhan Muhammad pula selama sebulan yang lain, Al-Quran secara tegas menurunkan ayat:

109:1-6. Katakanlah: "Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang
kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang Aku sembah. Dan Aku tidak
pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula)
menjadi penyembah Tuhan yang Aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah,
agamaku."

42:15. Maka Karena itu Serulah (mereka kepada agama ini) dan tetaplah sebagai mana
diperintahkan kepadamu dan janganlah mengikuti hawa nafsu mereka dan Katakanlah:
"Aku beriman kepada semua Kitab yang diturunkan Allah dan Aku diperintahkan
supaya berlaku adil diantara kamu. Allah-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. bagi kami
amal-amal kami dan bagi kamu amal-amal kamu. tidak ada pertengkaran antara kami
dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nyalah kembali (kita)".


Perubahan wajib sebagai suatu kemestian yang "dharuri" dilakukan oleh para pemuda Islam bagi menghadapi cabaran zaman, bagi menghadapi gelombang materialisme dan atheisme yang mengancam kewujudan Islam. Pandangan yang mendalam tentang kedudukan Umat Islam di setiap tempat mengukuhkan lagi keperluan mempersiapkan pemuda Islam dengan persiapan yang mencukupi syarat untuk menunaikan tugas perubahan Islam yang dicita-citakan, malah ia menjadi suatu tanggungjawab agama yang tidak seharusnya diabaikan atau dipermudah-mudahkan.

Perubahan Islam yang dicita-citakan itu bukanlah satu falsafah yang berbelit-belit sebagaimana yang difahami oleh setengah orang. Ia merupakan falsafah perubahan dalam Islam. Secara ringkas falsafah ini terungkap dalam kata-kata Rubi'e bin 'Amir kepada Rustam, ketua angkatan bersenjata Parsi, apabila ditanya sebab kemaraan orang-orang Islam:

"Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia-manusia) dari menjadi hamba kepada hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama kepada keadilan Islam. Maka kami diutus dengan agama Allah kepada mahluk Nya untuk menyeru mereka kepada Allah. Maka barangsiapa yang menerima, kami menerima mereka dan tinggalkan mereka di tanahair mereka dan sesiapa yang enggan kami perangi sehinggalah kamu menyahut seruan Allah yang dijanjikan."

Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional.

Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:

'Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.'


AYUH PEMUDA, LAKUKAN PERUBAHAN!!

Diringkaskan oleh: Besi The Heartless

1 comment:

Tarhata Kiran said...

assalamu'alaikum ukhti...ana cari cbox tak jumpa...:)
salam ziarah dari ana..

norbaizura
adikmu..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...