Baru hamil?
Jika anda baru sahaja tahu yang anda hamil, tahniah! Memandangkan sekarang anda bakal menjadi ibu, anda mungkin tertanya-tanya apa yang anda boleh dan tidak boleh makan, dan berapa kalori yang anda perlukan. Seksyen nutrisi kehamilan kami mempunyai kesemua jawapannya.Pada masa ini anda mungkin tidak begitu berselera, terutamanya jika anda mengalami mabuk hamil pagi. Tetapi cubalah makan secara sihat apabila anda boleh. Diet yang sihat akan membuatkan anda berasa lebih baik dan akan membantu bayi mendapatkan kesemua nutrien yang diperlukannya untuk membesar. Makan dengan kerap dalam kuantiti yang sedikit serta kerap meminum air boleh membantu menangani loya dan keletihan yang sedang anda alami sekarang.
Berbeza daripada apa yang sering anda dengar, anda tidak perlukan kalori tambahan dalam dua trimester yang pertama, jadi jangan fikir yang anda perlu makan untuk dua orang.
Fokus pada asid folik
Juga dikenali sebagai folat atau folasin, asid folik termasuk dalam salah satu kumpulan vitamin B. Ia penting semasa kehamilan kerana ia merupakan salah satu daripada beberapa nutrien yang diketahui boleh mengelakkan kecacatan kelahiran tiub neural seperti spina bifida. Badan anda juga memerlukannya untuk menghasilkan sel-sel darah merah serta norepinefrin dan serotonin (komponen kimia dalam sistem saraf anda). Ia membantu menghasilkan DNA (bahan genetik badan) yang mengnormalkan fungsi-fungsi otak dan merupakan satu komponan penting dalam cecair saraf tunjang.Pakar mengesyorkan setiap wanita yang merancang untuk hamil atau dalam 12 minggu pertama kehamilan supaya mengambil 400 mikrogram asid folik sebagai makanan tambahan.
Selain daripada mengambil makanan tambahan, pakar juga mengesyorkan supaya diet anda mengandungi makanan yang kaya dengan folat. Berikut adalah beberapa resipi enak yang boleh memberi ilham kepada anda.
Makan tengah hari: sup brokoli dan kacang pis
Hidangan untuk empat orangSup brokoli merupakan hidangan makan tengah hari yang bagus kerana ia mudah dihadam dan kaya dengan folat. Hidangkannya dengan roti berkerak yang disapu dengan hummus rendah lemak untuk menjadikannya lebih berkhasiat. Resipi ini menggunakan susu soya yang diperkaya, maka ia sesuai untuk mereka yang vegetarian, tetapi anda boleh juga menggunakan susu lembu skim jika anda suka. Sup ini juga boleh disejuk-beku.
Bahan-bahan
2 sudu besar minyak zaitun atau minyak sesawi
1 biji bawang besar, dicincang kasar
500g brokoli, dicincang kasar
150g kacang pis beku
500ml susu soya diperkaya dan tanpa gula (atau susu lembu separa skim)
500ml stok sayuran
Lada hitam sebagai perasa
Cara-cara
Tumiskan bawang hingga lembut selama kira-kira 10 minit. Masukkan brokoli dan kacang pis dan masak selama beberapa minit sambil dikacau. Masukkan susu soya dan stok sayuran, dan biarkan sup mendidih. Kecilkan api, tutup periuk dan renih selama kira-kira 20 minit hingga brokoli lembut.
Tuang sup tadi ke dalam pemproses makanan atau pengisar, atau guna pengisar berbatang dan kisar hingga halus. Hidangkan segera.
Snek: oren dengan halwa halia dan kurma
Segarkan diri anda pada minggu-minggu pertama ini dengan oren segar. Oren mempunyai indeks glicemik (GI) yang rendah. Ini bermakna ia akan memecahkan glukosa dengan perlahan-lahan dan mantap, seterusnya membantu menstabilkan gula dalam darah anda.Kupas sebiji oren dan hirisnya secara menegak. Susunkannya di atas pinggan. Cincang beberapa biji kurma dan taburkan di atas hirisan oren tadi. Kemudian taburkan pula halwa halia yang dicincang halus. Halia baik untuk menghilangkan loya dan menaikkan rasa buah oren.
Makan malam: kaserol daging dan kacang mata hitam (black eye beans)
Kacang mata hitam sangat tinggi kandungan folatnya dan merupakan sumber serat yang baik. Mencampurkannya dalam stew yang enak adalah cara yang mudah untuk memasukkan kekacang dalam diet anda. Resipi ini memberi hidangan untuk empat orang dan sesuai disejuk-beku.Bahan-bahan
1 biji bawang besar, dicincang kasar
500g daging, dipotong kiub
1 tin besar (400g) kacang mata hitam, ditos dan dibilas
1 sudu besar paprika
2 sudu besar tomato sundried, ditos dan dicincang
1 sudu besar tepung gandum
400ml air
2 helai daun bay
Lada hitam
Cara-cara
Tumis bawang hingga kecoklatan. Tutup api dan masukkan bawang yang telah ditumis ke dalam bekas kaserol. Masukkan daging, kacang, paprika dan tomato. Taburkan tepung dan kacau.
Masukkan air dan daun bay, dan kacau. Tutup bekas dengan penutupnya atau dengan kerajang aluminium dan masukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 160 darjah C. Bakar selama satu setengah jam sambil dikacau sekali-sekala.
Letakkan kentang jaket ke dalam ketuhar bersama-sama stew tadi, dan hidangkan dengan brokoli atau bayam kukus dan lobak merah atau jagung manis.
No comments:
Post a Comment