Thursday, May 16, 2013

Pemakanan sihat semasa hamil: 0 hingga 8 minggu

Baru hamil?

Jika anda baru sahaja tahu yang anda hamil, tahniah! Memandangkan sekarang anda bakal menjadi ibu, anda mungkin tertanya-tanya apa yang anda boleh dan tidak boleh makan, dan berapa kalori yang anda perlukan. Seksyen nutrisi kehamilan kami mempunyai kesemua jawapannya.

Pada masa ini anda mungkin tidak begitu berselera, terutamanya jika anda mengalami mabuk hamil pagi. Tetapi cubalah makan secara sihat apabila anda boleh. Diet yang sihat akan membuatkan anda berasa lebih baik dan akan membantu bayi mendapatkan kesemua nutrien yang diperlukannya untuk membesar. Makan dengan kerap dalam kuantiti yang sedikit serta kerap meminum air boleh membantu menangani loya dan keletihan yang sedang anda alami sekarang.

Berbeza daripada apa yang sering anda dengar, anda tidak perlukan kalori tambahan dalam dua trimester yang pertama, jadi jangan fikir yang anda perlu makan untuk dua orang.

Fokus pada asid folik

Juga dikenali sebagai folat atau folasin, asid folik termasuk dalam salah satu kumpulan vitamin B. Ia penting semasa kehamilan kerana ia merupakan salah satu daripada beberapa nutrien yang diketahui boleh mengelakkan kecacatan kelahiran tiub neural seperti spina bifida. Badan anda juga memerlukannya untuk menghasilkan sel-sel darah merah serta norepinefrin dan serotonin (komponen kimia dalam sistem saraf anda). Ia membantu menghasilkan DNA (bahan genetik badan) yang mengnormalkan fungsi-fungsi otak dan merupakan satu komponan penting dalam cecair saraf tunjang.

Pakar mengesyorkan setiap wanita yang merancang untuk hamil atau dalam 12 minggu pertama kehamilan supaya mengambil 400 mikrogram asid folik sebagai makanan tambahan.

Selain daripada mengambil makanan tambahan, pakar juga mengesyorkan supaya diet anda mengandungi makanan yang kaya dengan folat. Berikut adalah beberapa resipi enak yang boleh memberi ilham kepada anda.
fruit and veg






Makan tengah hari: sup brokoli dan kacang pis

Hidangan untuk empat orang

Sup brokoli merupakan hidangan makan tengah hari yang bagus kerana ia mudah dihadam dan kaya dengan folat. Hidangkannya dengan roti berkerak yang disapu dengan hummus rendah lemak untuk menjadikannya lebih berkhasiat. Resipi ini menggunakan susu soya yang diperkaya, maka ia sesuai untuk mereka yang vegetarian, tetapi anda boleh juga menggunakan susu lembu skim jika anda suka. Sup ini juga boleh disejuk-beku.

Bahan-bahan
2 sudu besar minyak zaitun atau minyak sesawi
1 biji bawang besar, dicincang kasar
500g brokoli, dicincang kasar
150g kacang pis beku
500ml susu soya diperkaya dan tanpa gula (atau susu lembu separa skim)
500ml stok sayuran
Lada hitam sebagai perasa

Cara-cara
Tumiskan bawang hingga lembut selama kira-kira 10 minit. Masukkan brokoli dan kacang pis dan masak selama beberapa minit sambil dikacau. Masukkan susu soya dan stok sayuran, dan biarkan sup mendidih. Kecilkan api, tutup periuk dan renih selama kira-kira 20 minit hingga brokoli lembut.

Tuang sup tadi ke dalam pemproses makanan atau pengisar, atau guna pengisar berbatang dan kisar hingga halus. Hidangkan segera.

Snek: oren dengan halwa halia dan kurma

Segarkan diri anda pada minggu-minggu pertama ini dengan oren segar. Oren mempunyai indeks glicemik (GI) yang rendah. Ini bermakna ia akan memecahkan glukosa dengan perlahan-lahan dan mantap, seterusnya membantu menstabilkan gula dalam darah anda.

Kupas sebiji oren dan hirisnya secara menegak. Susunkannya di atas pinggan. Cincang beberapa biji kurma dan taburkan di atas hirisan oren tadi. Kemudian taburkan pula halwa halia yang dicincang halus. Halia baik untuk menghilangkan loya dan menaikkan rasa buah oren.

Makan malam: kaserol daging dan kacang mata hitam (black eye beans)

Kacang mata hitam sangat tinggi kandungan folatnya dan merupakan sumber serat yang baik. Mencampurkannya dalam stew yang enak adalah cara yang mudah untuk memasukkan kekacang dalam diet anda. Resipi ini memberi hidangan untuk empat orang dan sesuai disejuk-beku.

Bahan-bahan
1 biji bawang besar, dicincang kasar
500g daging, dipotong kiub
1 tin besar (400g) kacang mata hitam, ditos dan dibilas
1 sudu besar paprika
2 sudu besar tomato sundried, ditos dan dicincang
1 sudu besar tepung gandum
400ml air
2 helai daun bay
Lada hitam

Cara-cara
Tumis bawang hingga kecoklatan. Tutup api dan masukkan bawang yang telah ditumis ke dalam bekas kaserol. Masukkan daging, kacang, paprika dan tomato. Taburkan tepung dan kacau.

Masukkan air dan daun bay, dan kacau. Tutup bekas dengan penutupnya atau dengan kerajang aluminium dan masukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 160 darjah C. Bakar selama satu setengah jam sambil dikacau sekali-sekala.

Letakkan kentang jaket ke dalam ketuhar bersama-sama stew tadi, dan hidangkan dengan brokoli atau bayam kukus dan lobak merah atau jagung manis.

Nutrisi dan diet untuk wanita hamil

Snek bagaimanakah yang baik dalam trimester pertama?

Dalam trimester pertama, anda tidak memerlukan lebih kalori. Walau bagaimanapun, anda perlukan lebih folat. Anda sepatutnya ambil suplemen asid folik sebanyak 400 mikrogram (mcg) setiap hari, tetapi memakan makanan yang kaya dengan folat juga bagus. Folat adalah bentuk asid folik dalam makanan.

Makan banyak buah oren dan tembikai kantelup. Simpan kepingan roti berserat tinggi dalam peti sejuk supaya anda boleh ambil sekeping apabila anda memerlukannya.

Vitamin A sangat penting bagi perkembangan organ, sistem peredaran, pernafasan dan sistem saraf bayi. Oleh itu, anda memerlukan banyak vitamin A sepanjang kehamilan.

Adalah baik bagi anda makan snek yang kaya dengan vitamin A dalam trimester pertama. Vitamin A juga membantu mengekalkan kesihatan anda dengan memperkuatkan daya ketahanan badan supaya anda dapat melawan jangkitan.

Vitamin A daripada sumber haiwan dipanggil retinol. Telur dan keju adalah sumber yang baik. (Jangan makan hati kerana ia mengandungi retinol pada tahap yang terlalu tinggi yang boleh membahayakan anda semasa hamil.)

Vitamin A dalam tumbuh-tumbuhan diperolehi dalam bentuk karotina, terutamanya betakarotina. Buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna oren mengandungi betakarotina. Masukkan potongan buah mangga, pic dan betik ke dalam bijirin anda. Anda juga boleh membuat smoothies untuk dibawa ke tempat kerja. Cubalah buat sup daripada lobak merah, labu air dan keledek.

Tip-tip lain daripada pakar nutrisi kami, Ng Yee Voon:

  • Halia dapat membantu melegakan mabuk hamil. Chai (teh herba) yang direbus dengan halia, dan masakan atau pencuci mulut yang mengandungi halia dapat membantu.
  • Setelah bekerja sepanjang hari, anda mungkin terdorong untuk membeli sahaja makanan dari luar. Walau bagaimanapun, rancanglah hidangan makan anda dengan menggabungkan sayur-sayuran atau sup dengan makanan yang dibeli supaya ia lebih berkhasiat.

Apakah snek yang baik bagi trimester kedua?

Dalam trimester kedua, anda masih tidak perlu meningkatkan pengambilan kalori. Sebaliknya, fokus kepada mendapatkan kalsium yang cukup. Pada ketika inilah gigi dan tulang bayi mula terbentuk.

Kehamilan tidak meningkatkan keperluan kalsium anda. Anda telahpun mempunyai simpanan kalsium dalam badan yang akan memenuhi keperluan bayi. Walau bagaimanapun, anda perlu memenuhkan simpanan. Diet yang kaya dengan kalsium juga memberi kebaikan lain. Kalsium dapat mengurangkan risiko anda mengalami tekanan darah tinggi. Malangnya, menurut Yee Voon, purata pengambilan kalsium di kalangan rakyat Malaysia tidak memenuhi pengambilan nutrisi yang dicadangkan (Recommended Nutrition Intake - RNI).

Produk tenusu (pililah yang rendah lemak sekiranya boleh) membekalkan banyak kalsium yang mudah diserap oleh badan. Yogurt ialah snek yang mudah, atau minumlah susu pada waktu malam untuk membantu anda rasa mengantuk.

Jika anda tidak boleh mengambil produk tenusu, maka pilihlah produk soya yang diperkaya dengan kalsium. Buah tin kering dan badam yang juga mengandungi kalsium pula mudah dibawa ke mana-mana.

Satu snek yang baik untuk anda pada trimester ini ialah sardin dengan roti bakar. Sardin bukan sahaja membekalkan kalsium, tetapi juga mengandungi zat besi dan asid lemak omega 3. Asid lemak ini penting untuk perkembangan otak dan mata bayi.

Satu lagi mineral yang penting bagi tulang ialah magnesium. Oleh itu, makanlah snek yang kaya dengan magnesium seperti segelas susu, sebiji kentang bakar atau segenggam biji-bijian. Magnesium juga membantu badan anda bekerja dengan lebih efisien. Ia membantu anda menukarkan makanan yang anda makan kepada tenaga dan melaraskan suhu badan anda.


Snek apakah yang baik dalam trimester ketiga?

Apabila sampai ke trimester ketiga, anda memerlukan lebih tenaga, vitamin C dan thiamin (vitamin B1). Tenaga tambahan yang diperlukan hanyalah 200 kalori, tetapi daripada mengunyah sekeping coklat, fikirkan snek lain yang turut membekalkan nutrisi lain.

Sekeping roti bakar bijirin penuh dengan ekstrak yis dan sebiji tomato, atau semangkuk sup cendawan diikuti dengan satsuma atau jenis buah oren mandarin yang lain juga bagus.

Vitamin C sangat penting sepanjang kehamilan dan memainkan peranan yang penting dalam melindungi sel-sel daripada rosak serta memastikan sistem imun badan dalam keadaan baik.

Vitamin C juga memainkan peranan dalam memastikan plasenta berkembang dan berfungsi dengan baik. Ia juga membantu lapisan dinding perut menyerap zat besi daripada makanan.

Sesetengah buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi vitamin C yang tinggi, maka makanlah ia sebagai snek. Buah strawberi dan kiwi, terutamanya, mudah dibawa ke mana-mana dan boleh dibuat smoothie atau salad buah-buahan.

Vitamin C boleh terhapus jika makanan itu dimasak terlalu lama, maka cubalah makan sayur-sayuran mentah. Brokoli dan bunga kubis atau lada benggala enak jika dicicah dengan sos salsa atau humus. (Lihat Snek apakah yang boleh saya bawa dalam beg? untuk resipi humus.)

Tingkatkan pengambilan vitamin-vitamin B dengan memakan bijiran sarapan yang diperkaya, dan pilihlah yang rendah kandungan gula dan tinggi kandungan seratnya. Vitamin-vitamin dalam kumpulan vitamin B adalah:
  • vitamin B1 (thiamin)
  • vitamin B2 (riboflavin)
  • vitamin B6
  • vitamin B12
  • niasin
  • folat
Keperluan bagi thiamin meningkat dalam trimester terakhir untuk membantu anda mengeluarkan tenaga daripada makanan.

Kekacang, beras perang dan sayur-sayuran hijau adalah sumber thiamin yang baik. Snek mudah yang terdiri daripada sekeping roti bijian bakar dengan kacang panggang dapat membekalkan khasiat yang anda perlukan.

Masalah sembelit mungkin menjadi lebih teruk dalam trimester ketiga. Ketika ini, bayi anda yang semakin membesar menghimpit usus kecil anda, dan memperlahankan pergerakan makanan melalui usus. Serat dan air amat penting untuk mengurangkan sembelit, dan anda harus minum sekurang-kurangnya 1.5 liter cecair sehari.

Pengambilan cecair boleh jadi daripada air kosong, minuman tidak berkafein, jus atau sup, malah makanan juga. Serat tidak dicernakan dalam perut, oleh itu ia membantu pergerakan bahan-bahan lain. Serat boleh didapati dalam bijirin bijian penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran. Pilihlah nasi beras perang dan roti bijian penuh dan pastikan anda makan lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari.

Satu tip daripada pakar nutrisi kami, Yee Voon: 10 peratus daripada ibu-ibu hamil di Malaysia didapati menghidap kencing manis atau yang dipanggil diabetes gestasi. Jika anda menghidap penyakit ini, pastikan anda berjumpa dengan pakar pemakanan yang bertauliah untuk mendapatkan nasihat mengenai nutrisi.


Snek apakah yang boleh saya bawa dalam beg?

Jika anda inginkan sesuatu yang mudah, berkhasiat dan enak, teruskan membaca. Berikut adalah beberapa idea bagi setiap trimester, samada anda merancang untuk membawa bekal makan tengahari ke tempat kerja, atau sekadar sesuatu yang boleh dibawa ke mana-mana:

Trimester pertama

  • Tingkatkan pengambilan folat dan serat dengan mencampurkan sebiji buah oren potong dengan potongan buah kurma. Masukkan ke dalam bekas kedap udara lengkap dengan sudu.
  • Buat sup yang kaya dengan vitamin A untuk dibawa ke tempat kerja. Tumiskan bawang dengan sesudu minyak sayur-sayuran hingga lembut, tambah enam batang lobak merah bersaiz sederhana yang dipotong serta setengah biji labu air. Tambah 750ml stok sayuran rendah lemak dan reneh selama 20 minit. Kisar dan taburkan serbuk buah pala di atasnya. Simpan dalam peti sejuk-beku. Apabila anda memerlukannya, cuma panaskan dan tuang ke dalam bekas tahan panas dan siap dibawa.
  • Daripada minum setin minuman kola, mengapa tidak smoothie yang kaya dengan vitamin A? Kisar 350g campuran buah-buahan seperti mangga, betik dan nanas dengan 150ml hingga 200ml jus epal tanpa gula. Masukkan ke dalam bekas dan sejukkan sehingga anda memerlukannya.

Trimester kedua

  • Tukar biskut coklat anda dengan pek kecil buah tin dan aprikot yang kaya dengan kalsium dan zat besi.
  • Ceduk sedikit yogurt greek kurang lemak ke dalam satu bekas kecil dan taburkan potongan badam dan buah-buahan kering seperti aprikot atau prun. Bawa sudu kecil dalam beg supaya anda boleh makan snek yang kaya dengan kalsium dan zat besi ini di mana-mana sahaja!
  • Humus yang dibuat sendiri boleh jadi kurang berlemak dan masin berbanding yang dibeli di kedai. Tambahan pula, pes tahini (yang diperbuat daripada biji bijan) adalah sumber kalsium yang baik. Kisar setin besar kacang pis yang telah ditoskan dengan sesudu besar jus lemon, dua ulas bawang putih, sesudu besar tahini, sesudu minyak zaitun tulen dan air secukupnya untuk menjadikannya pes yang lembut. Sejukkan.

Trimester ketiga

  • Bawa satu pek kecil bijirin sarapan berasaskan bran yang kaya dengan serat, dan tambah susu semasa anda di pejabat.
  • Buat salad kacang dengan mencampurkan kacang dalam tin yang telah ditos dan dibilas, potongan tomato dan timun serta sesudu sos salad kegemaran anda. Ia kaya dengan thiamin dan pelawas!
  • Smoothie membekalkan cecair, vitamin dan serat. Buat sendiri menggunakan buah-buahan bermusim dan jika anda tambah yogurt, anda dapat kalsium dan riboflavin tambahan. Kisar yogurt rendah lemak dengan sebiji pisang, nektarin, buah kiwi atau segenggam raspberi. Sejukkan dan masukkan ke dalam bekas bertutup ketat untuk anda hirup dalam perjalanan.

Saya sangat inginkan sesuatu yang enak. Apakah yang boleh saya makan?

Kadang-kala, kita semua mengalah kepada keinginan untuk makan sesuatu yang enak. Berikut ialah cara membuat makanan anda enak dan berkhasiat untuk anda.

Trimester pertama

Hadiahkan diri anda dengan kek lobak (buatan sendiri, jika anda ada masa). Ia memberi anda vitamin A daripada lobak, vitamin E daripada minyak dan walnut, serta serat yang penting.

Trimester kedua

Flapjack sangat enak dan mudah disediakan. Cuba resipi mudah ini. Ia akan membekalkan kalsium dan magnesium kepada anda.

Cairkan 75g majerin dengan 75g gula. Campur dan gaulkan 100g oat, 25g badam cincang dan 25g biji labu. Masukkan ke dalam loyang berukuran 20cm persegi yang telah diminyakkan dan tekan sehingga mampat. Kemudian, bakar dalam ketuhar pada suhu 200 degree C selama kira-kira 15 minit sehingga keperangan. Sejukkan sedikit, kemudian potong menjadi kepingan-kepingan panjang.

Trimester ketiga

Apabila sampai ke trimester ketiga, anda pasti merasakan bahawa anda layak mendapat lebih hadiah. Tingkatkan kadar tenaga anda sekali-sekala dengan sandwic daging salai dan tomato.

Bakar di atas gril dua keping daging salai nipis dan buat sandwic yang enak dengan roti bijian penuh dan hirisan tomato segar. Snek ini enak serta kaya dengan tenaga, vitamin C dan thiamin.

Setelah anda selesai merancang snek anda, teruskan pula dengan merancang hidangan makanan dari trimester ke trimester.

Simptom kehamilan yang tidak boleh anda abaikan

  • Sakit di bahagian abdomen
  • Sakit bahagian bawah perut
  • Demam
  • Gangguan penglihatan
  • Bengkak tangan dan tapak kaki
  • Sakit kepala yang teruk dan tidak hilang-hilang
  • Pendarahan faraj
  • Keluar cecair daripada faraj
  • Peningkatan rasa dahaga
  • Sakit semasa pengencingan
  • Muntah yang teruk
  • Pengsan atau pening
  • Pergerakan bayi semakin perlahan
  • Kegatalan seluruh badan pada peringkat akhir kehamilan
  • Anda jatuh atau terhentak pada perut
  • Anda rasa "tidak begitu sihat"

Tidak kira berapa banyak yang telah anda baca atau bincangkan dengan ibu-ibu lain mengenai kehamilan anda, masih lagi sukar untukanda  mengetahui samada apa yang anda alami semasa hamil ini adalah normal ataupun tidak.

Berikut ialah simptom-simptom yang perlu anda risaukan. Jika anda sedang mengalami salah satu daripada masalah berikut, hubungilah doktor anda dengan segera.

Sakit di bahagian abdomen

Sakit yang teruk atau rasa mencucuk-cucuk pada bahagian abdomen atau atas perut, samada disertai dengan <1048966>loya atau muntah ataupun tidak, boleh jadi merupakan petanda bagi beberapa perkara. Anda mungkin mengalami:
Sekiranya anda kini dalam separuh masa kedua kehamilan, kesakitan ini mungkin juga menandakan praeklampsia, iaitu satu masalah serius yang memerlukan rawatan segera.

Sakit bahagian bawah perut

Sakit yang teruk di satu sisi atau kedua-dua sisi perut boleh jadi petanda beberapa perkara. Ligamen anda mungkin tertarik dengan kuat atau ia mungkin tanda:

Demam

Jika anda demam dengan suhu melebihi 37.5 darjah C, tetapi tanpa simptom flu atau selesema, hubungi doktor anda pada hari yang sama.

Jika suhu melebihi 39 darjah C, hubungi doktor anda dengan segera. Anda mungkin mempunyai jangkitan. Doktor anda akan memberikan anda antibiotik dan menasihatkan anda supaya berehat. Jika suhu anda melebihi 39 darjah C bagi jangka masa yang lama, ia boleh membahayakan bayi dalam kandungan anda.

Gangguan penglihatan

Hubungi doktor anda sekiranya, dalam separuh masa kedua kehamilan anda mengalami:
  • penglihatan berganda
  • penglihatan kabur
  • penglihatan malap
  • ternampak tompok-tompok bersinar
  • ternampak cahaya terang yang berlangsung lebih daripada dua jam
Simptom-simptom tersebut boleh jadi tanda-tanda praeklampsia.

Bengkak tangan dan tapak kaki

Ramai ibu mengandung akan mengalami bengkak semasa kehamilan dan dalam kebanyakan kes, ini tidak perlu dirisaukan. Tetapi, jika simptom ini teruk atau berlaku tiba-tiba dan disertai dengan sakit kepala atau gangguan penglihatan, ia mungkin simptom praeklampsia.

Sakit kepala yang teruk dan tidak hilang-hilang

Jika anda mengalami sakit kepala yang lebih dari dua atau tiga jam, bersama dengan gangguan penglihatan dan bengkak yang beerlaku tiba-tiba pada tangan, muka dan mata anda, anda mungkin mengalami praeklampsia.

Pendarahan faraj

Pendarahan ringan (spotting) tanpa kesakitan mungkin tanda normal proses implantasi iaitu apabila embrio melekat pada uterus pada awal kehamilan, ataupun pendarahan penebusan (breakthrough bleeding). Namun anda masih perlu hubungi doktor anda jika anda mengalami pendarahan semasa kehamilan kerana ini boleh jadi menunjukkan komplikasi yang serius:
  • Pendarahan yang berbeza daripada normal haid anda (lebih banyak atau sedikit dan berwarna gelap) disertai kesakitan teruk pada satu sisi abdomen boleh jadi tanda kehamilan ektopik (kehamilan di luar rahim).
  • Pendarahan yang banyak, terutamanya apabila disertai sakit belakang atau abdomen, boleh dikaitkan dengan keguguran atau berpotensi untuk gugur.
  • Dalam peringkat akhir kehamilan, pendarahan menunjukkan plasenta praevia, koyakan plasenta atau kelahiran pramatang (kelahiran yang bermula sebelum minggu ke-37).

Keluar cecair daripada faraj

Keluarnya cecair daripada faraj sebelum minggu ke-37 bermakna membran anda telah pecah awal. Doktor anda pasti mahu anda dimasukkan ke hospital supaya anda boleh mendapatkan rawatan untuk mencegah jangkitan dan membuat persediaan untuk kelahiran pramatang.

Selepas 37 minggu, anda mungkin akan mula proses pelahiran. Hubungi doktor anda untuk berbincang mengenai pilihan anda jika perlahiran tidak bermula dalam 24 jam.

Peningkatan rasa dahaga

Jika anda tiba-tiba dahaga tetapi kurang kencing, ini mungkin tanda penyahhidratan atau diabetis kehamilan (atau diabetis gestasi). Keduanya meningkatkan risiko komplikasi bagi anda dan bayi anda.

Sakit semasa pengencingan

Sakit semasa pengencingan diikuti dengan suhu tinggi, menggigil dan sakit belakang mungkin tanda-tanda jangkitan saluran urin. Jumpalah doktor. Dia akan merawat dengan antibiotik.

Muntah yang teruk

Muntah lebih daripada dua hingga tiga kali sehari akan menyahhidratkan dan melemahkan anda tanpa membahayakan bayi anda. Anda perlu hubungi dengan doktor anda jika anda mengalami muntah yang teruk dan berterusan (hiperemesis gravidum) kerana mungkin anda perlu dimasukkan ke hospital.

Muntah yang bermula di peringkat akhir kehamilan dan diikuti dengan sakit di bawah tulang rusuk adalah tanda pra-eklampsia. Jika anda muntah diikuti dengan kesakitan dan suhu yang tinggi ia mungkin disebabkan oleh jangkitan. Dalam kedua kes, hubungi doktor anda.

Pengsan atau pening

Ini mungkin tanda yang anda tidak cukup makan pada hari itu tetapi ia juga bermakna anda mungkin mempunyai tekanan darah rendah. Ramai wanita berasa pening-pening lalat semasa kehamilan. Jika pengsan, hubungi doktor anda untuk memastikan tiada masalah.

Pergerakan bayi semakin perlahan

Tiada pergerakan atau pergerakan bayi anda perlahan lebih daripada 24 jam selepas minggu ke-21 mungkin petanda yang bayi anda tertekan. Jika anda sedar bahawa bayi anda kurang bergerak daripada biasa, hubungi doktor anda. (Baca lebih lanjut mengenai pergerakan bayi anda, termasuk bila perlu meminta bantuan).

Kegatalan seluruh badan pada peringkat akhir kehamilan

Simptom-simptom ini menunjukkan masalah berkaitan hati seperti obstetrik kolestasis. Jika anda mengalami obstetrik kolestasis, anda mungkin juga mengalami jaundis, dengan urin berwarna gelap dan najis yang pucat.

Kegatalan adalah normal kerana kulit anda meregang untuk menyesuaikan keadaan dengan bayi anda yang sedang membesar, tetapi lebih baik jika anda membuat pemeriksaan, terutamanya jika kegatalan itu teruk pada waktu malam dan melibatkan tapak kaki dan tangan anda.

Anda jatuh atau terhentak pada perut

Jatuh tidak selalunya membawa bahaya, tetapi hubungi doktor anda pada hari yang sama dan jelaskan apa yang berlaku. Jika anda tergelincir di tangga dan tulang punggung anda tercedera, anda tidak perlu risau. Bayi anda selamat dilindungi oleh uterus dan cecair amnion.

Walau bagaimanapun, komplikasi mungkin berlaku dalam sesetengah kes. Jika anda mengalami kontraksi, rembesan cecair atau sebarang pendarahan, hubungi doktor anda dengan segera atau pergi ke hospital terdekat.

Anda rasa "tidak begitu sihat"

Jika anda tidak pasti mengenai satu simptom, tidak berasa seperti biasa atau berasa tidak selesa, percayalah dengan perasaan anda dan hubungi doktor anda. Jika terdapat masalah, anda akan dirawat dengan segera. Jika tiada masalah, anda akan berasa lega.

copas:http://www.babycenter.com.my/a1029400/simptom-kehamilan-yang-tidak-boleh-anda-abaikan#section16#ixzz2TSS1N7Oj
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...