Saturday, July 31, 2010

FITNAH BOLEH MEMUSNAH

MINDA BISTARI #45 - FITNAH BOLEH MEMUSNAH

Posted On July 8, 2010


TanSriAli.jpg

~~ Chief Executive Officer of Johor Corporation (JCorp), and has been CEO since January 1, 1982 ~~

(Artikel ini ialah tulisan asal yang diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 8 Julai, 2010)

Minggu lalu, ketika bersama rakan dari seluruh negara menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-17 Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) di Tasik Kenyir, Terengganu, saya terbaca berita membabitkan keputusan kes fitnah ke atas Johor Corporation (JCorp). 

Beberapa akhbar nasional melaporkan keputusan mahkamah yang memihak kepada JCorp dan menolak rayuan penulis politik Syed Hussein Al-Attas (Pak Habib) untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2001. Beliau turut diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM 1.6 juta kepada JCorp dan saya selaku Ketua Eksekutif JCorp.

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya dan JCorp difitnah. Banyak lagi yang berlaku namun tidak berlanjutan secara terbuka sehingga terpaksa dibawa ke mahkamah.  Saya percaya tohmahan dan fitnah akan terus dilemparkan terhadap organisasi ini terutama daripada pihak yang jelas berniat mengenepikan dan menggagalkan cita-cita dan usaha JCorp serta DPIM dalam menjayakan perjuangan menjadikan bisnes sebagai satu jihad dan menjayakan Waqaf Korporat untuk Jihad Bisnes.  

Hari ini, di Johor khasnya, semakin kuat didengar seruan agar bisnes dan harta JCorp di'faraidkan' untuk kepentingan kelompok tertentu. Mereka beralasan bahawa JCorp sudah 'menyeleweng' daripada matlamat asalnya.  Ada juga yang berpandangan, JCorp, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, terlalu pesat membesar dan terlalu 'bebas'. Justeru, mereka berpendapat JCorp perlu dibendung, dipasung dan dikawal supaya kembali patuh sepenuhnya kepada segala arahan dan peraturan kerajaan.  

Dalam pengalaman saya berkhidmat lebih 30 tahun di JCorp (28 tahun selaku Ketua Eksekutif), terlalu banyak tuduhan, tohmahan dan fitnah telah dilemparkan terhadap JCorp. Kami bersyukur ke hadrat Allah kerana terdapat golongan yang lebih besar yang menyokong dan mendoakan kejayaan kami. Namun bahayanya adalah mereka yang menentang. Sekalipun tidak ramai, terdapat di kalangan mereka orang berpengaruh dan berkedudukan yang boleh digunakan untuk memenuhi hasrat mereka.

Walaupun banyak tuduhan, tohmahan dan tuntutan seperti ini jelas tidak berasas, mereka yang tidak menganalisis secara mendalam akan menerimanya bulat-bulat. Misalnya, tuntutan yang menganjurkan supaya JCorp patuh dan akur sepenuhnya kepada dasar, syarat-syarat perkhidmatan, arahan dan peraturan kerajaan. Pada zahirnya tuntutan ini sangat wajar.

Namun, sekiranya diteliti dengan lebih terperinci dan mendalam, selepas empat dekad bertumbuh dan berkembang, sekalipun di peringkat ibu pejabatnya JCorp adalah sebuah badan berkanun dan agensi kerajaan, 95 peratus aktiviti, pelaburan, aset serta bisnesnya dikendalikan oleh syarikat anak dan syarikat sekutunya.    Sebahagian besar operasinya di atas prinsip bisnes di pasaran, menerusi beberapa syarikat tersenarai (PLC) di dalam dan luar Johor, termasuk luar negara. 

Demikian juga daripada dimensi warga kerjanya. Jumlah anggota pekerja JCorp (bukan 'kakitangan') di ibu pejabat hari ini tidak sampai satu peratus daripada hampir 65,000 keseluruhan anggota kumpulan JCorp. Sumber utama modal dan pembiayaan JCorp kini dibiayai sepenuhnya oleh aliran tunai dan keuntungan bisnes serta pinjaman bank.

Kini JCorp pada asasnya sebuah entiti korporat bebas (namun bukan bertindak sesuka hati). Bagi saya dan rakan seperjuangan di JCorp inilah sebenarnya yang dimahukan oleh Kerajaan.  Inilah juga teras dan intipati Model Baru Ekonomi (MBE) yang mahukan rakyat dan negara memiliki kreativiti, inovasi dan daya keusahawanan tinggi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, dinamik, berterangkum dan lestari. 

JCorp menganalisis situasi yang mengancam ini untuk mengenal pasti puncanya. Ini perlu kami lakukan secara rasional dan tenang, bertujuan menyusun langkah dan strategi serta mencari jalan terbaik. Jelas sekali fitnah, tohmahan dan semua tuntutan liar, sekiranya dibiar berleluasa, sangat berbahaya sehingga boleh menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap JCorp dan warganya.

Paling berbahaya, jika ada yang sanggup bertindak dan mencari jalan membantut usaha, menghalang perjalanan atau langsung merosak, meruntuh dan memusnahkan organisasi JCorp. Ini juga boleh berlaku apabila mereka menerima informasi yang salah dan maklumat yang tidak tepat mengenai aktiviti JCorp sehingga mudah termakan hasutan dan dakyah negatif yang disebarkan.  

Sebenarnya JCorp sebagai sebuah organisasi yang begitu kompleks juga tidak sunyi daripada kelemahan dan kegagalan. Misalnya, kegagalan Skim Amanah Saham Johor (ASJ) dan Dana Johor (DJ) yang dikendalikan JCorp telah membuat pelabur kecewa akibat terpaksa menanggung hutang dan beban sehingga membenci dan memusuhi JCorp.  Begitu juga dengan mereka yang marah kerana tidak mendapat kontrak dan projek daripada JCorp.  Demikian juga penyewa kompleks dan premis tidak berpuas hati apabila kadar sewa tidak dapat direndahkan untuk memberi subsidi kepada mereka. Isu-isu dimainkan oleh mereka yang anti-JCorp sehingga diibaratkan 'menyimbah minyak ke dalam api'.

Harapan saya dan rakan di JCorp ialah agar perasaan marah tidak dibiarkan bersarang di dalam jiwa. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu pula dibakar.  Mudah-mudahan kita tidak mudah dihasut dan bertindak memusnahkan kebaikan yang boleh kita hasilkan pada masa depan untuk kepentingan besar bangsa dan ummah, khasnya untuk manfaat generasi kita akan datang.  

Pada 1980an, JCorp pernah menghadapi cabaran hebat survivalnya ketika kerajaan memperkenalkan Dasar Penswastaan Negara.  Beberapa GLC kerajaan di peringkat persekutuan (seperti MAS, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), UDA dan Perstima) serta di peringkat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri-negeri (PKEN) telah diswastakan kepada beberapa individu. 

Di Johor, fokus utama dasar ini ditujukan kepada JCorp apabila didapati beberapa syarikat, aset dan bisnesnya yang bernilai tinggi. Ketika itu timbul suara lantang yang menganjurkan supaya JCorp turut diswastakan.

Saya masih ingat ketika saya dan rakan seperjuangan di JCorp berdialog dengan sekumpulan anak Johor dalam satu perhimpunan yang dianjurkan di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Suasana begitu tegang dengan laungan menuntut JCorp segera diswastakan.  Antara hujah yang digunakan ialah menuntut segera dilahirkan barisan jutawan Melayu Johor. Ada yang menuduh JCorp tidak bersama menjayakan dasar kerajaan kerana enggan menswastakan syarikat dan bisnes miliknya. JCorp juga dituduh seolah-olah mahu merampas hak Melayu!.  

Ketika itu lagi, kami berdiri tegas dengan prinsip berkhidmat di JCorp sebagai amanah, tanggungjawab dan kewajipan untuk membina bisnes, menambah nilai aset dan syarikat serta memperkukuhkan ekonomi Melayu demi membina dan membela kepentingan besar agama, bangsa dan negara.  Kami tegas memilih untuk tidak menjayakan penswastaan demi mengelak berlakunya kebocoran hak milik Melayu seperti yang berlaku kepada bisnes yang diswastakan.

Dalam konteks ini, tiada seorang pun daripada kalangan eksekutif JCorp yang menadah tangan meminta supaya diberi saham, sama ada menerusi tawaran hakmilik kepada pengurusan (Management Buy-out atau MBO) mahu pun pilihan saham (stock option).

Malah, akhirnya, semua eksekutif dan anggota JCorp (termasuk kalangan pengurusan atasan paling layak diberi keutamaan sekiranya dasar penswastaan dilaksanakan), sebulat suara memutuskan untuk memilih jalan terbaik demi kepentingan jangka panjang bangsa Melayu dan umat Islam. Kami akhirnya menolak jalan penswastaan yang bertunjangkan nafsu-nafsi sehingga tergamak memfaraidkan dan memperibadikan hakmilik yang sebenarnya amanah untuk semua orang Melayu dan seluruh umat Islam.

Atas pertimbangan ini, JCorp memilih menjadikan usaha bisnes kami sebagai satu jihad, yang mudah-mudahan direstui dan diredhai Allah SWT. Langkah inovatif luar biasa segera diambil dengan mengadaptasi peranan institusi wakaf dan menjayakannya dalam konteks bisnes menerusi Waqaf Korporat. Insya Allah, ia mampu melestarikan kepentingan bisnes Melayu-Muslim supaya berkesinambungan generasi demi generasi sehingga kiamat.

Kami bersyukur kerana seluruh ahli dan rakan DPIM turut menerima dan menyambut seruan ini.  Kini kami mengharapkan doa dan sokongan padu masyarakat Melayu dan seluruh umat Islam di Malaysia, supaya bersama membantu menjayakan perjuangan ini.  Ketepikanlah mana-mana hasutan atau anjuran yang berniat menggagalkan perjuangan Jihad Bisnes dan memusnahkan cita-cita JCorp menjadi institusi Waqaf Korporat untuk kepentingan besar ummah.  
 
Muhammad Ali Hashim
7 Julai, 2010


--
'Filter' kepada Kejahilan, 'Ubat' kepada Hati, 'Makanan' kepada Minda. Galeri Ilmu Online anda.

894BF73446A2F8474B9D6DA8EF5CCCD2.png
QuantumBidadari

d192ebe14e2dafc89237ce49ef86e4ae.png
GaleriIlmuOnline

49cbe177b3af642cdbf6cb07dad1dc09.png
JihadBisness
rahsia-ebook

"Kini anda boleh membuat pembelian buku, cd, vcd daripada ikon-ikon terkenal seperti Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood, Dato' Ismail Kamus, Dr Zahazan Mohamed, Dr Irfan Khairi dan ramai lagi. Klik disini http://www.stormreaders.net/galeriilmu

stormreaders1.jpg
klik disini

ATAU Mulakan perniagaan menjual buku-buku agama, motivasi, ilmiah dan novel  dari rumah! Sertai sebagai Rakan Pengedar StormReaders2U, dan anda juga akan mempunyai e-store anda sendiri untuk menjana pendapatan tambahan melalui Internet. Kini, ramai yang telah berjaya memperolehi pendapatan tambahan setiap minggu sebagai Rakan Pengedar StormReaders2U.  StormReaders adalah perniagaan berangkaian 100% menurut syariah. Adakah anda berminat? Klik di sini http://www.stormreaders2u.net/r/galeriilmu/

mrushaidin@gmail.com atau nor259@gmail.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...