Wednesday, November 11, 2009

Aku rindukan dia..



Sejak aku kenal dengan dia, hidup aku mula berubah. Cara aku pandang dunia juga berubah. Aku jadi manusia yang lebih bersyukur. Dia mengajar aku mengisi hidup aku dengan perkara yang diredhai Tuhan tanpa bicara. Mengenali dia merupakan satu anugerah yang sangat berharga dalam seumur hidupku. Dia seorang insan biasa sahaja pada pandangan mata kasarku. Namun, mengenalinya dengan lebih dalam menjadikan aku mengangkat dia ke taraf insan yang luar biasa.

Bagiku, dia adalah cahaya dalam hidupku. Dulu, kini dan selamanya. Aku bersyukur, kerana dia memilih aku untuk menceritakan segala rasa hatinya. Aku jadi kuat mendengar luahan dari segenap jiwanya. Aku merindui dia..Sungguh aku sangat merindui dia, detik ini dan tika ini. Adakah dia tahu bahawa aku rindukan dia? Doaku sentiasa buat dia. Kuharap dia sentiasa tenang dan damai.

Bermula dengan belajar bersama,sedikit demi sedikit aku dapat mendekati dia. Dia membuka pintu hatinya untuk aku terokai. Aku manusia terpilih yang terawal tahu tentang dia.

Dia sakit. Kanser. Sebaya dengan usiaku. Kini dia sudah pergi. Sudah 2 tahun dia pergi tinggalkan segala kehidupan dunia. Aku kehilangan dia. Dia yang saban kali membuat panggilan dari jauh memberi kata-kata semangat untuk aku lebih kuat berusaha untuk meneruskan hari-hariku di medan perjuangan seorang pengemis ilmu. Setiap semester pasti dia meluangkan masa menghilangkan segala resah dan gelisah tatkala aku menghadapi masalah belajar mahupun sosial. Aku suka mendengar pandangan ‘peguam’ cilik ini. Itu kisah lama..dia sudah tiada. Hari ini aku rindukan dia, dia yang hadir bawa cahaya.

Aku janji aku akan doakan dia selalu. Al-Fatihah takkan putus aku hadiahkan untuknya. Aku mahu dia berehat di sana setelah penat menahan seksa sakit yang dideritainya. Tanpa dia, aku mungkin menjadi manusia ego yang tidak bersyukur pada Tuhannya. Tidak dapat aku coretkan segala peristiwa yang pernah aku lalui bersama dia. Kami pernah bergaduh, kami pernah menagis bersama, sudah tentu kami juga pernah ketawa bersama. Semuanya terakam dalam layar fikiran, tersemat dalam sanubari.

Terima kasih tuhan yang menemukan aku dengan dia. Terima kasih kerana beri aku hidayah melaluinya. Sayangi dia wahai Tuhan..Ampuni dia wahai Tuhan

Al Fatihah untuk yang teristimewa Almarhumah Shafriza

by: Aura Besi, 11.05 p.m,10 Nov 2009

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...