Monday, June 15, 2009

Kembara



Bismillahi walhamdulillah

Pengembaraan kali ni merupakan pengembaraan yang paling panjang masanya yang pernah saya lalui. Dan disepanjang tempoh kembara ini juga, saya mencari semula diri saya yang hampir hilang nilai Islamnya. Bohong sekiranya saya katakana yang saya langsung tidak terkesan dengan dunia. Saya telah melampaui batas dengan menghirup madu dunia secara berlebihan. Dan akibatnya, hati saya lalai dari mengingati Allah. Hati saya menjadi beku kerana merasa tidak nikmat bila melakukan ibadah. Memang saya sedari, sesungguhnya nikmat Islam dan Iman itu hanya segelintir sahaja yang dapat merasai. Hanya mereka yang terpilih sahaja yang dapat mencicip kemanisan Islam. Saya tak nak menjadi orang yang rugi dengan menolak iman dan Islam.


Iman ibarat segelas air masak. Cuba kita bayangkan, segelas air masak yang kita sengaja dibiarkan berminggu-minggu diatas meja, apa yang akan terjadi pada air itu?? Keruh bukan? Kita pun jadi tak selera nak meminumnya lantaran habuk yang semakin memenuhi air tersebut. Begitu juga iman kita, jika kita menyangka bahawa kita ini sudah cukup beriman, tanpa perlu dihaga dengan rapi iman itu, tanpa ada pertambahan dan pembaikan yang kita lakukan,maka lama kelamaan iman kita akan menjadi lusuh. Alangkah ruginya diri kita sekiranya itu yang terjadi.

Jadi dalam rangka untuk menjernihkan kembali ‘air iman’ saya, maka saya menjalankan misi ‘kembara mencari iman’. Saya bermusafir di serata tanah air untuk membetulkan semula ketetapan hati saya. Saya menzirahi sahabat akrab saya untuk mengukuhkan lagi simpulan ukhuwah. Disamping itu, saya juga dapat mengenali beberapa orang sahabat baru. Dengan mengikat dan mengukuhkan tali ukhuwah, saya mendapat kekuatan tambahan untuk terus bersemangat menentang arus perdana dunia.


Sepanjang tempoh kembara, saya belajar erti bersyukur dengan lebih dalam lagi. Saya berkenalan dengan Kak Ami yang baik. Kak Ami seorang gadis Sarawak yang membuka mata hati saya untuk menghargai apa yang ada di sekeliling saya. Kak Ami mengajar saya tentang keazaman memburu Redha Allah dan menjaga hati semata-mata kerana Allah. Dan saya sangat terharu bila Kak Ami menceritakan detik-detik perubahan dalam hidup dia. Detik Kak Ami ingin berkenalan dengan Tuhan. Detik Kak Ami ingin mencari kebenaran. Dan akhirnya Kak Ami berjaya menemui hidayah Allah. Alhamdulillah...Kak Ami menggenggam dengan kejapnya Hidayah itu!! Masya Allah!!

Selain Kak Ami, saya bertemu dengan Kak Nina di negeri bersejarah. Melihat Kak Nina, saya belajar erti cekal dan tabah. Kak Nina yang tenang sentiasa tersenyum ceria. Berkat perkongsian pengalaman, saya belajar banyak hikmah tentang sabar dan istiqomah. Disebalik pengalaman hidup Kak Nina terselit kejayaan besar yang Allah berikan berkat usaha, keazaman, ketabahan serta kesabaran Kak Nina dalam usaha menjadi seorang muslimah yang solehah. Dan itu menguatkan hati saya untuk terus kekal memajukan diri dan bersabar.

Saya berpeluang menjadi co-pilot kepada Mak Cik Mid semasa mengembara ke Wilayah Tengah. Mak Cik Mid, yang saya sangka serius pada awalnya, merupakan seorang pemberi nasihat yang baik. Disaat saya berseronok bercerita tentang dunia dan keindahannya, Mak Cik Mid sentiasa mengingatkan saya tentang Allah. Ada sahaja ingatan-ingatan yang diberikan kepada saya. Ada sahaja pesanan-pesanan yang diturunkan untuk saya. Banyak juga persoalan-persoalan yang saya ajukan terjawab. Dan yang penting, Mak Cik Mid sentiasa ingatkan saya supaya sentiasa kembali kepada Allah untuk setiap apa yang terjadi dan merasai betapa nikmatnya beribadah kepada Allah.

Saya juga berkesempatan bertemu dengan sahabat yang dikasihi , Ude dan Dija. Ude dan Dija walaupun sibuk dengan bebanan kerja di kota metropolitan yang tidak pernah ada penghujungnya sempat juga menyediakan masa untuk saya. Kembara rohani bersama Ude disebahagian negeri yang mengamalkan ada Perpatih membuka mata dan minda saya tentang apa yang terjadi kepada system kehidupan pada hari ini. Ude, pada pandangan mata saya seorang yang sanggup berkorban apa sahaja untuk orang lain. Ude mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan dirinya sendiri. Saya belajar tentang erti hidup pada memberi daripada Ude. Dalam arus jahiliyah yang pekat beserta tekanan tempat kerja yang menggila, Ude masih setia dengan proses membaiki diri dan mengisi hati. Itu yang saya sangat kagum dengan Ude. Saya akan sentiasa merendahkan hati saya untuk membaiki dan membuang segala ego.

Begitu juga dengan Dija, teman kongsi cerita luar dan dalam samada di alam nyata mahupun alam cyber. Dija antara yang memahami. Dija yang sentiasa beri sokongan. Dija menjadi antara asbab untuk saya sentiasa berfikiran positif dan tegar atas jalan yang ditaburi duri yang terpacak ini. Saya belajar tentang pentingnya menjaga hati dari dicemari sebarang titik hitam dari Dija. Dija mengajar tentang buruknya maksiat jika tidak dijirus dengan air taubat. Saya selalu berkongsi idea dan pandangan dengan Dija. Saya dan Dija sentiasa bersama-sama menjaga antara satu sama lain dan menjaga kawan-kawan kami yang lain juga. Persamaan sifat semulajadi antara saya dan Dija menyebabkan kami selesa bersama. Ujian ukhuwah yang pernah kami lalui mengeratkan lagi simpulan kasih sayang antara kami. Saya belajar erti sayang kepada semua orang dari Dija. Terima Kasih teman.

Peluang mengenali Ummu di Pantai Timur membuka peluang kepada saya belajar tentang sopan santun dan lemah lambut. Dua sifat yang masih jauh untuk saya gapai. Ummu, adik yang manis dan solehah. Ummu yang sabar penuh dengan kelembutan dan kesopanan. Bersama Ummu, menjadikan hati saya cemburu. Cemburu kerana Ummu berjaya lembutkan hati saya dengan sifat lembut dan penyantun. Sifat segan saya semakin membesar saat bersama Ummu. Ummu yang ringan tulang member bantuan pada sesiapa yang memerlukan. Ummu yang sabar dan tenang. Saya ingin tanam sifat santun dan lembut dalam diri saya, walau tidak sebaik Ummu, sekurang-kurangnya saya lebih baik dari diri saya yang dulu. Insya Allah.

Itu antara isi pelajaran yang saya dapat dan suka untuk saya kongsikan bersama disepanjang tempoh kembara. Kembara masih belum tamat, ada banyak lagi yang perlu saya cungkil dan berusaha untuk mengimplimentasikan segala yang saya dapat dalam diri dan kehidupan saya. Insya Allah saya akan kongsi pelajaran yang saya dapat dari murobbi-murobbi tetap saya. Tanpa mereka, besi bukan besi yang kental seperti sekarang. Untuk mereka yang pernah, yang sedang, yang akan, membantu saya mencorakkan peribadi saya, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Saya sayangkan kalian. Sayang sangat-sangat..


by: Besi The Heartless

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...