Wednesday, July 9, 2008

Jadilah orang yang cerdik

Alhamdulillah, hari ini masih lagi mampu bernafas seperti biasa. Allah Maha Pengasih dan Maha penyayang kerana masih memberi nikmat yang banyak kepada hambaNya. Semalam tidur lena. Seronok rasa sebab badan terasa segar sangat. Bercakap tentang tidur lena, tiba-tiba teringat kata-kata sahabat Rasulullah.

Saiyidina Ali pernah berkata” Manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya.” Demikianlah, orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan tertidur lena, dia akan terkejut apabila kematian datang mendadak.

Bertanya ana pada diri..”berapa kerapkah aku ingat mati? Aku terlalu merasa lazat dengan dunia…”

Ana membaca satu buku tulisan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berjudul ‘INSAN, INGATLAH!’.

Dalam buku tersebut ada menyatakan tentang kelazatan dunia. Kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar terhadap sifat lalai manusia, lalai dalam solat juga berpunca dari kelazatan dunia, dan manusia yang sedang di ulit kesenangan dan kelazatan dunia pasti tidak kepingin didatangi maut, kerana baginya maut adalah noktah kepada kesenangan yang sedang dikecapi didunia.

“Astaghfirullah… dimana agaknya aku letakkan diri aku??” terdetik suara hati.

Abu Hurairah pernah berkata, bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan kelazatan hidup,” bertanya Abu Hurairah:”Apakah yang dapat meleburkan kelazatan hidup itu?”Jawab Rasulullah”Zikrul Maut” iaitu mengingati akan maut.

Kadang-kadang nafsu yang degil ditambah pula dengan penyokong setia syaitan yang terkutuk menolak setiap peringatan yang diberikan. Kenapa kita perlu ingat mati??Rilex la… umur masih muda. Enjoy la dulu..ana tertarik pada analogi yang cuba disampaikan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang mengingati mati.

Seorang pemandu kenderaan yang cermat pasti menjaga ciri-ciri keselamatan, bukan sekadar memandu berhati-hati dan mematuhi peraturan di jalan raya, malah dia juga tidak lupa meneliti kenderaan sebelum memandunya. Di antara perkara utama ialah memastikan sama ada brek dalam keadaan yang baik, kerana brek merupakan perkara yang utama untuk menjamin keselamatan jalan raya.

Begitulah juga dalam kehidupan manusia memerlukan ciri-ciri keselamatan, bagi menjamin keselamatan hidup manusia di dunia dan terutamanya di akhirat. Seperti juga kenderaan, manusia juga selain tidak lalai dan berwaspada mengharungi hidup yang penuh pancaroba dia juga mesti mempunyai brek bagi memastikan dirinya tidak terbabas dan melampaui batas-batas Allah Taala.

Apakah sebenarnya brek bagi manusia agar mereka tidak terbabas dan merempuh perkara yang haram dan dilarang oleh Allah Taala? Sesungguhnya yang berfungsi sebagai brek bagi manusia itu banyak, yang terutama ialah keimanan terhadap Allah dan hari akhirat.

Keimanan tidak tumbuh dengan sendirinya kecuali dibaja dengan ilmu yang berteraskan wahyu Ilahi yang disampaikan oleh rasulNya. Terutamanya ilmu tauhid atau aqidah yang mengesakan Allah serta ilmu yang mencakupi bidang syariat sebagai panduan hidup untuk mengabdi diri kepada Allah dan hubungan sesama insan.

Selain itu, perkara yang berfungsi sebagai brek dalam hidup adalah mengingati mati. Mengingati mati memberi ruang yang banyak kepada manusia menghadapkan wajah hati dan ingatan mereka kepada akhirat. Pandangan orang-orang beriman itu sangat jauh kerana dia tidak melihat dengan mata kepalanya sahaja tetapi yang lebih penting ialah melihat dengan mata hati. Mata hati pandangannya mampu menembusi akhirat.

Jadi, ingat mati rupanya satu “brek “ untuk diri kita supaya tidak terbabas dalam perjalanan di dunia untuk menuju ke destinasi akhirat..Malang tidak berbau, kita tidak dapat menjangka apa yang berlaku di jalan raya, apatah lagi perjalanan hidup didunia. Boleh jadi kematian kita akan berlaku dijalan raya di dunia..Jadi bersiap sedialah wahai jiwa..

Wallahu’alam

by: Bidadari Besi

Rujukan: Insan, Ingatlah! Oleh: Nik Abdul Aziz Nik Mat

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...