15 Perkara Yang Usahawan Berjaya Lakukan Setiap Hari
by
Artikel dari
Entrepreneur.com ini diterjemahkan dari penulisan Jacqueline Whitmore,
seorang Penulis, Pakar Etika dan Pengasas Protokol di Sekolah Palm
Beach.
Usahawan yang paling berkesan tahu
bahawa mereka perlu melabur dalam diri mereka sendiri jika mereka mahu
mengembangkan perniagaan mereka. Berikut adalah beberapa tabiat untuk
diteladani.
Usahawan yang paling berjaya melihat
diri mereka sebagai aset. Mereka setiap masa melabur pada diri mereka
dan pada masa akan datang melalui pendidikan yang berterusan untuk
peningkatan diri sendiri.
Jika anda ingin menjadi usahawan yang
lebih baik dan berjaya mengembangkan perniagaan anda, anda perlu
mendedikasikan masa dan tenaga untuk memperbaiki tabiat harian anda.
Berikut adalah 15 perkara yang usahawan berjaya utamakan setiap hari walaupun jadual mereka sangat padat.
1. Makan Sarapan. Untuk bekerja
pada tahap prestasi yang kemuncak, tubuh anda memerlukan tenaga. Anda
bukan hanya sekadar minum secawan kopi dalam perjalanan ke pejabat,
tetapi anda mengambil masa beberapa minit untuk makan makanan sihat atau
minum jus berprotein, tidak kira di mana sahaja anda berada.
2. Merancang Hari Anda. Perkara
pertama pada waktu pagi, lihat kalendar anda dan aturkan jadual anda
mengikut kepentingan. Jika anda mempunyai masa-masa tertentu yang
terbaik untuk bekerja dalam sehari, gunakan masa itu dengan sebaiknya
untuk lakukan kerja-kerja yang memerlukan ketenangan. Saya membuat kerja
terbaik saya pada waktu pagi, jadi saya cuba untuk jadualkan
sekurang-kurangnya 90 minit untuk kerja-kerja penulisan saya setiap hari
sebelum saya menguruskan aktiviti harian lain. Demi menjaga tenaga anda
supaya konsisten sepanjang hari, jadualkan waktu rehat yang kerap dan
singkat untuk anda makan makanan ringan yang sihat.
3. Jangan Semak Emel Dengan Segera.
Perkara pertama yang ramai orang biasa lakukan adalah menyemak
handphone pada waktu pagi untuk melihat siapa yang telah menghantar emel
dan tabiat ini memang sukar untuk dielakkan. Selalunya, menyemak emel
merupakan satu gangguan kepada tumpuan pada kerja yang anda mahu
selesaikan di awal hari. Cuba tunggu sehingga jam 9 atau 10 pagi untuk
menyemak emel, sekurang-kurangnya selepas anda telah menyelesaikan salah
satu kerja kritikal dalam senarai tugasan anda. Jika anda sedang
menumpukan kerja pada projek yang penting, cuba untuk tidak menyemak
emel anda lebih daripada tiga kali sehari.
4. Ingat Tujuan Anda. Ambil
sedikit masa pada permulaan setiap hari kerja untuk mengingatkan diri
anda tentang matlamat syarikat anda. Fikirkan tentang pelanggan utama
anda dan bidang perniagaan anda yang paling menguntungkan. Kita sering
kali terjebak tumpuan dalam mengerjakan tugasan harian kita sehingga
kita lupa apa yang membuat kita bahagia dan apa yang membawa keuntungan
sebenarnya.
5. Tugasan Tunggal. Kita hidup
dalam dunia yang menggalakkan kepelbagaian tugasan pada suatu masa.
Malangnya, apabila anda ada terlalu banyak tugasan sekaligus, anda
mungkin boleh terganggu tumpuan dengan gangguan-gangguan yang tidak
penting. Untuk menjadi lebih produktif dan berkesan, beri keutamaan
kepada tugasan yang penting dan agihkan tugasan lain untuk memberi
tumpuan sepenuhnya.
6. Bayangkan (Visualisasi). Ia
mungkin aneh, tetapi cuba tutup mata anda dan bayangkan kejayaan anda.
Bayangkan apa yang anda akan rasa apabila anda mencapai matlamat anda.
Visualisasi adalah alat yang berkuasa dan boleh membantu untuk sentiasa
mengekalkan aspirasi ini di fikiran anda. Salah satu perkara yang
mungkin dapat membantu adalah dengan memperoleh gambar impian untuk
membantu anda mencapai matlamat. Sebagai contoh, jika anda berminat
untuk bercuti di Paris, letakkan gambar Menara Eiffel di atas meja anda.
7. Mengatakan Tidak. Usahawan
terutamanya sering rasa tertekan untuk menerima setiap peluang yang
datang pada mereka. Walau bagaimanapun, bukan setiap peluang yang datang
akan memberi manfaat kepada anda atau perniagaan anda. Masa adalah
komoditi yang paling berharga. Beri keutamaan pada apa yang anda telah
setuju untuk lakukan.
8. Hargai Masa Anda. Tidak
seperti wang, masa adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui. Tiada
cara lain untuk mendapatkan lebih masa. Jaga masa anda dan gunakannya
untuk melakukan perkara yang paling penting untuk diri sendiri dan
syarikat anda. Elakkan gangguan sebaik yang boleh. Sama ada anda
mengetuai atau menghadiri mesyuarat, secara online atau secara peribadi,
dapatkan kepastian tentang masa permulaan dan masa berakhirnya
mesyuarat itu. Apabila seseorang meminta masa anda untuk konsultasi atau
bermesyuarat, cuba minta soalan-soalan terlebih dahulu supaya anda
boleh menyelidik sesuatu perkara itu lebih awal. Ini akan membolehkan
anda menumpukan perhatian pada masa dan tugasan anda.
9. Mengagihkan Tugasan. Pada awal
perniagaan saya, saya fikir saya boleh menyimpan wang lebih dengan
melakukan segala-galanya sendiri. Kemudian saya sedari, tugasan-tugasan
kecil dan biasa telah mengambil banyak masa saya dari menghasilkan
kerja-kerja yang mendatangkan pendapatan untuk perniagaan saya. Saya
pada masa itu sudah kusut mengerjakan tugasan. Apabila anda tersogok
dengan kerja, anda tidak akan dapat memikirkan penyelesaian. Upah
seseorang untuk membantu anda.
10. Dengar. Apabila anda bercakap
dengan rakan sekerja atau pekerja, dengar dengan sepenuhnya. Ambil masa
untuk memahami sepenuhnya apa yang orang lain katakan. Pemimpin yang
mendengar dengan berkesan dapat mengelakkan salah faham dan akan kurang
cenderung untuk meminta penjelasan kemudian.
11. Tunjukkan Rasa Terima Kasih.
Jadikan ia satu tabiat harian untuk duduk dan selalu bersyukur atas
peluang yang diberikan kepada anda dan untuk semua perkara yang anda
telah capai setakat ini. Ingatkan diri anda tentang kejayaan masa lalu
anda untuk membantu anda fokus, sentiasa berada di masa sekarang dan
produktif.
12. Berdiri Dan Bergerak. Tahukah
anda perlakuan duduk adalah seperti rokok pada masa ini? Perjalanan
dengan kereta dan gaya hidup yang terikat pada meja boleh membahayakan
kesihatan anda. Kajian menunjukkan ia meningkatkan risiko hilang upaya,
kencing manis, penyakit jantung, beberapa jenis kanser dan obesiti.
Tidak kira bila, anda boleh mengambil masa beberapa minit untuk berdiri
dan melakukan beberapa aktiviti singkat yang merehatkan setiap satu atau
dua jam. Aktiviti ini baik untuk badan dan minda anda.
13. Tarik Nafas. Ramai orang
bernafas pendek. Setiap jam atau lebih, berdiri di meja anda, regangkan
badan dan ambil 10 kali nafas yang dalam. Pernafasan sebegini akan cepat
merangsangkan oksigen dan mencergaskan semula badan anda untuk tugas
seterusnya.
14. Berehat Makan Tengah Hari.
Bangun dari meja anda dan makan tengahari di tempat lain. Jika anda
tidak boleh meninggalkan kerja anda untuk seketika, jadikan waktu makan
tengahari masa anda membina rangkaian. Jadualkan mesyuarat makan
tengahari sepanjang minggu dengan pelanggan penting, kenalan profesional
atau rakan-rakan.
15. Kosongkan Meja Anda. Pada
akhir setiap hari, bersihkan semak dari meja anda. Simpan pen, tindanan
kertas-kertas dan aturkan barangan lain. Sebuah meja yang teratur akan
memberikan pencerahan yang jelas untuk hari berikutnya dan menghalang
anda dari terasa buntu dengan kerja semalaman.
Klinik Usahawan Dr Azizan Osman – Siri Mudahnya Berniaga 2014