Thursday, August 19, 2010

KAYA SAMBIL BERAMAL JARIAH

MINDA BISTARI #51 - KAYA SAMBIL BERAMAL JARIAH - NILAI ISLAM DALAM BISNES DAN KORPORAT


TanSriAli.jpg

Tan Sri Muhammad Ali formerly President & Chief Executive of Johor Corporation (JCorp), and has been CEO for more than 28 years (since January 1,1982 - July 29, 2010).

(Artikel ini diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 19 Ogos 2010 dengan beberapa pindaan oleh pihak editor di bawah tajuk "PENERAPAN NILAI MURNI BISNES")

Dalam bulan Ramadan al mubarak ini, ahli bisnes dan korporat Muslim pasti ingin merenung dan muhasabah diri bagi menilai sejauh mana bisnes dan aktiviti korporat masing-masing menepati sepenuhnya anjuran untuk menambah amal ibadah dan perkara yang baik, sekaligus mengelak apa yang dilarang dan merosakkan.

Dalam usaha ini, semua ahli bisnes dan korporat wajib menentukan semua yang dilakukan menepati tuntutan yang wajib, halal dan diharuskan Islam, sebaliknya menjauhi segala yang haram dan dilarang Islam.

Kita bersyukur sejauh ini di Malaysia kita telah mengambil tindakan tersusun dan berkesan dalam usaha memudahkan hal ini disempurnakan. Maksud saya, urusan bisnes dipermudahkan penyerasiannya dengan Islam, misalnya setelah sistem kewangan Islam dapat dijayakan dan disebarkan amalannya di Malaysia. Kita kini mempunyai pilihan memenuhi tuntutan agama dalam urusniaga kewangan. Kini inisiatif Malaysia dalam kewangan Islam, termasuk di bidang takaful, semakin terkenal hingga di peringkat dunia.

Hari ini, sistem kewangan atau perbankan Islam dan takaful Islam turut mendapat perhatian negara maju.  Sistem kewangan dan takaful Islam bukan sahaja adil dan saksama, malah ia berpotensi menstabilkan dan menyeimbangkan sistem kewangan ekonomi dunia. Ia mendapat perhatian kerana Barat mula bimbang masalah, kepincangan dan kerosakan yang berlaku akibat daripada sistem kewangan non-Islamik yang dilihat sebagai rakus dan mengeksploitasi peminjam dan pengguna, khasnya golongan berpendapatan rendah. 

Sistem rakus dan "greed-driven" ini mengakibatkan perebutan ganjaran berlebihan di kalangan eksekutif atasan. Ia menggalakkan spekulasi berlebihan di kalangan bank dan korporat besar menyebabkan ketidakstabilan sistem, kemarahan dan kebencian golongan bawahan terhadap bank dan korporat mereka.

Saya amat tertarik dengan pandangan salah seorang bekas ahli bisnes dan CEO Sweden, Rolf Osterberg yang menulis dalam bukunya pada 1993, bertajuk: Corporate Renaissance, Business as an Adventure in Human Development. Osterberg menyatakan: "I often wondered why one of the world's great religions, the Muslim faith, so expressly bans the charge of interest… There must be a higher thought behind it."  

Sentimen seperti ini banyak dinyatakan kebelakangan ini. Pemikir Barat semakin terdesak mencari pembaharuan ke atas sistem kewangan dan ekonomi mereka yang tidak lagi berupaya dilestarikan atau tidak sustainable.

Selain bidang kewangan, Malaysia, sebagai salah sebuah negara Islam termaju, semakin terkenal kerana usahanya menjayakan program halal di bidang makanan, pengeluaran dan khidmat lain secara tersusun dan teratur.

Saya percaya niat Malaysia bersungguh-sungguh menjayakan kedua-dua bisnes halal dan kewangan Islam hingga ke peringkat global, adalah untuk memangkinkan penerapan sepenuhnya nilai Islam ke dalam kehidupan bisnes dan ekonomi. Ianya satu kewajipan fardu kifayah yang perlu disempurnakan segera.

Kedua-dua Kewangan Islam dan halal boleh digunakan untuk kelebihan bisnes Muslim Malaysia bersaing, di samping sebagai strategi penting mengawal pasaran Muslim di tangan umat Islam. 

Malangnya hari ini potensi strategik ini semakin kehilangan. Dahulu, bidang kewangan Islam memberi kelebihan kepada Bank Islam di peringkat awal penubuhannya.  Namun kelebihan bersaing ini hilang apabila semua bank dan syarikat mula menawarkan instrumen kewangan Islam dan produk memenuhi kriteria dan prasyarat halal. Kini semua bank bukan Muslim seperti Citibank, HSBC dan OCBC turut menawarkan produk dan instrumen kewangan dan takaful Islam. Status 'keIslaman' mereka tidak lagi boleh dinafikan dan mereka kini menguasai pasaran.

Demikian juga dengan produk halal. Kini dilaporkan 80 peratus produk makanan halal yang diguna oleh pengguna Muslim di Malaysia dikeluar dan dibekalkan oleh bukan Muslim. Hakikatnya sebahagian besar produk halal ini dikeluarkan syarikat gergasi milik MNC Barat dan bukan pengeluar tempatan.

Apa pun, masih terdapat ruang bagi Muslim menyusun strategi bersaing di samping menjayakan aspirasi menerapkan sepenuhnya nilai Islam dan menjadikannya teras sistem ekonomi negara. Nilai Islam yang unggul termasuklah keadilan, keprihatinan, ihsan, tidak merosak dan memudarat, amanah, ikhlas, tidak menipu, mengurangkan timbang dan sukat serta memalsu, dan seumpamanya. 

Demikian juga semangat berlumba membuat kebaikan (fastabiqul khairat), dan nilai hidup murni dengan akhlak mulia anjuran Islam. Semua ini jika diamal mengikut ajaran Islam sepenuhnya pasti menjadikan hasil usaha bisnes sebagai amal soleh dan rahmat kepada manusia dan sekalian alam. Semua nilai ini, wajib diterap, diamal dan dijayakan dalam kehidupan bisnes dan korporat Muslim.

Semua nilai ini diperlukan memandangkan sistem bisnes dan korporat pengenalan kapitalis Barat, biar pun berkesan sebagai jentera penjana kekayaan, didapati mengakibatkan kerosakan yang tidak lagi dapat dilestarikan. Antara kerosakan dan kemusnahan besar yang berlaku termasuk:-

• Jurang antara kaya dan miskin semakin melebar
• Sistem ekonomi pacuan bisnes (business-driven) yang tidak berhati-perut
• Kerakusan korporat merosak sistem ekonomi, sosial dan nilai kemanusiaan
• Merosak alam sekitar dan mengancam sumber ekonomi lain
• Mengakibatkan eksploitasi dan dominasi, penjajahan, selain meminggir ramai manusia
• Memudaratkan seluruh alam dan kehidupan

Kerosakan semakin teruk berlaku sehingga Osterberg turut memerhatikan: "Wherever I go in the Western world I see the same symptoms of disharmony, dissatisfaction and alienation… Many of us have begun searching, searching for meaning… We have begun to see that our economy and material progress do not serve people. In fact, it is the other way around. We have become prisoners of the economy, and we are on our way to consuming ourselves."

Seperti dikatakan, sistem kewangan Islam berpotensi menstabilkan sistem kewangan dunia, dengan demikian penggunaannya perlu diperluaskan. Namun, dipercayai pembaharuan sistem kewangan sahaja tidak dapat mengatasi akar umbi sumber utama ancaman dan masalah sistem ekonomi dunia, khasnya terbit daripada nilai hidup rakus dan materialistik.

Untuk itu, sistem ekonomi memerlukan sistem bisnes dan korporat alternatif sebagai nilai teras berbisnes.  Umat Islam wajib ke depan menganjurkan gagasan inovatif dan kreatif dalam menerapkan nilai Islam ke dalam sektor korporat, iaitu langsung kepada institusi syarikat dan korporat  sebagai 'jentera utama dan paling perkasa' dalam sistem ekonomi. Ini boleh segera mereka lakukan dengan memperkenal dan mengamal nilai Islam sepenuhnya dalam organisasi bisnes dan korporat yang mereka miliki dan terajui.

Saya yakin Jihad Bisnes dan konsep institusi Waqaf Korporat sangat relevan untuk menuju ke arah pembaharuan yang dicitakan. Kedua-duanya bertujuan menjadikan usaha bisnes sebagai ibadah dan amal soleh untuk membawa sebanyak manfaat kepada seramai mungkin manusia.

Namun, ia tidak boleh dijayakan tanpa memperbaharui corak arkitektur organisasi bisnes dan pegangan hakmilik bisnes seperti yang diterima pakai menurut kaedah kapitalis selama ini. Sekalipun tidak semua bisnes milik individu dan keluarga rakus, sikap rakus lebih mudah terbit daripada kuasa hak milik yang dipegang pada bahagian terbesarnya oleh individu dan keluarga, khasnya setelah bisnes membesar. Ia akan terus menggalakkan sikap mendahulukan kepentingan peribadi dan keluarga di atas segala yang lain.

Tiba masanya Malaysia dan negara Islam lain memilih alternatif baru kepada sistem yang merosakkan ini.  Tiba masanya kita tumpukan perhatian kepada punca utama iaitu sistem ekonomi pacuan syarikat korporat swasta yang menjadi punca kerosakan.

Bagi majoriti usahawan yang mengendalikan bisnes kecil-kecilan, sekiranya berlaku mudarat, impaknya kecil, ibadah dan amal soleh lebih mudah disempurnakan dengan menepati tuntutan halal dan membawa sebanyak manfaat kepada pelanggan dan pengguna. Kemudian apabila memperoleh untung dan kaya, harta kekayaan boleh disucikan dengan menyempurnakan zakat, berinfak, sedekah, jariah dan wakaf.

Bagi syarikat besar dan korporat (termasuk GLC), mereka perlu sedar bahawa impak yang dibawa, sekiranya bermudarat dan merosakkan, berlipat ganda besar kesannya terhadap masyarakat dan kehidupan manusia.  Dengan demikian, amal soleh yang diharapkan adalah jauh lebih besar, tidak memadai dengan program CSR yang ad hoc saja. Sikap bertanggungjawab dan prihatin terhadap kebajikan masyarakat perlu diintegrasikan langsung ke dalam struktur dan dijadikan "DNA" korporat itu sendiri. Dalam kata lain, kita tidak boleh mengaharapkan organisasi korporat dalam konsep dan corak sedia ada untuk memperbaharui keadaan. 

Tanpa pembaharuan menyeluruh, jurang ketidakadilan dan ketidakseimbangan harta kekayaan lebih cepat diperlebar, apabila syarikat swasta milik eksklusif individu dan keluarga menjadi gergasi. Akhirnya sistem ekonomi akan berpanjangan ciri ketidakadilan sehingga ke tahap satu kezaliman setelah yang kaya terus bertambah kaya dan yang miskin keciciran dan langsung terpinggir selamanya.

Sebagai strategi awal, memandangkan lemahnya tahap swasta Muslim, GLC dan penubuhan organisasi Waqaf Korporat Muslim harus diberi peranan utama dalam merapatkan jurang dalam sistem. GLC harus bertindak sebagai institusi korporat amanah dengan menerap sepenuhnya nilai murni Islam ke dalam tindak-tanduk bisnes dan kehidupan korporat. Matlamat utama di peringkat awal ialah membina asas pembaharuan dan pengimbangan sistem supaya manfaat besar daripada hasil usaha bisnes dan korporat dapat ditujukan untuk kepentingan semua dan tidak lagi eksklusif kepada yang berada dan kaya sahaja.

Muhammad Ali Hashim,
18 Ogos, 2010.


--
'Filter' kepada Kejahilan, 'Ubat' kepada Hati, 'Makanan' kepada Minda. Galeri Ilmu Online anda.

894BF73446A2F8474B9D6DA8EF5CCCD2.png
QuantumBidadari

d192ebe14e2dafc89237ce49ef86e4ae.png
GaleriIlmuOnline

49cbe177b3af642cdbf6cb07dad1dc09.png
JihadBisness

header.jpg
HadisMingguan

"Kini anda boleh membuat pembelian buku, cd, vcd daripada ikon-ikon terkenal seperti Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, Dato' Siti Nor Bahyah Mahamood, Dato' Ismail Kamus, Dr Zahazan Mohamed, Dr Irfan Khairi dan ramai lagi. Klik disini

stormreaders1.jpg
klik disini

ATAU Mulakan perniagaan menjual buku-buku agama, motivasi, ilmiah dan novel  dari rumah! Sertai sebagai Rakan Pengedar StormReaders2U, dan anda juga akan mempunyai e-store anda sendiri untuk menjana pendapatan tambahan melalui Internet. Kini, ramai yang telah berjaya memperolehi pendapatan tambahan setiap minggu sebagai Rakan Pengedar StormReaders2U.  StormReaders adalah perniagaan berangkaian 100% menurut syariah. Adakah anda berminat? Klik di sini

mrushaidin@gmail.com atau nor259@gmail.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...