Banyak perkara yang berlaku ke atas diri kita tanpa kita sedar atau pun tidak. Kadang kala kita merungut dan tidak berpuasa hati dengan pencapaian diri sendiri apabila kita melihat orang lain beroleh kemewahan, kesenangan dan kejayaan lebih dari apa yang kita ada. Itulah sikap manusia, tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki atau dengan kata yang lebih tepat – tidak bersyukur.
Aku sebenarnya masih mencari cara bersyukur yang terbaik dengan peluang yang Allah berikan untuk menuntut ilmu. Apakah sebenarnya yang perlu aku lakukan? Jauh dari keluarga memang membuatkan kita cepat berasa kekosongan dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Inilah masanya untuk meneroka sesuatu yang baru dalam kehidupan!
Apa yang mahu diteroka? Aku mengambil kesempatan terhad di sepanjang keberadaan ini untuk berjalan, melihat dan berfikir tentang keindahan alam dan manusia di sekitarnya. Masa, wang dan tenaga dihabiskan untuk singgah di pelbagai daerah dan ceruk. Semunya ku lawati dengan satu matlamat.
Misi untuk belajar dan menyampaikan. Walau diri ini tidak sehebat mana, namun aku mahu lakukan yang terhebat demi agamaku..Barangkali tanpa misi dan matlamat yang jitu seperti ini, aku hanyalah pelajar biasa yang terperap di kelas yang sekali sekala mencari jalan melepaskan tekanan dengan menjerit pura pura kegirangan. Ada pula yang sudah berpasang pasangan walau tanpa ikatan yang sah. Ya, itu semua cabaran untuk kita..cabaran untuk memenuhkan usia muda. Pemuda ibarat air. Jika tidak mengalir ia akan rosak bersendirian. Semakin kotor dan berkuman.
Jangan jadi manusia biasa yang dirinya dikuasai persekitaran. Emosinya mengikut tarian nafsu. Jadilah manusia biasa yang bercita cita untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Lambat laun akan ada hasilnya. Tetapkan pendirian dan teruskan jihad. Jangan alah sebelum kalah. Wah..cakap memang senang, tapi diri yang melalui jua lah yang menanggung onak dan ranjaunya.
Tapi kini aku puas selama bersama teman seperjuangan di dalam saf. Bersama-sama kami memperkukuhkan saf yang sedia ada. Banyak pengalaman yang ditempuh. Bukan sedikit pengorbanan yang di buat, bukan sedikit masalah yang menimpa. Tapi segalanya aku simpulkan menjadi suatu kepuasan. Membandingkan diri ini sewaktu sebelum daku ke sini amatlah jauh bezanya. Tidak pernah aku impikan untuk berada di sini, mengecap nikmat untuk menjadi seorang hamba yang beriman hanya kepada satu Illah,memerhati alam dan kehidupan dan berusaha mewakafkan seluruh hidupku hanya padaNya. Semuanya menjadi realiti kerana keazaman untuk menerima dan menyampaikan mesej. Mesej dari Rabbi.
3 persoalan yang asas seringkali aku ulangi, dari mana aku datang, untuk apa aku di jadikan, dan ke mana akhirnya aku akan pergi selepas ini? Persoalan yang sentiasa membantu aku untuk kembali ke jalan yang benar dan lurus, jalan yang dilimpahi rahmat dan kasih sayangNya.. Aku bersyukur, aku sudah mampu berubah..selepas ini, aku harus menjadi ejen perubahan. Perubahan kepada nur dari zulumat.Aku ingin terus berada di jalan ini. Jalan yang diwariskan oleh orang-orang yang telah dulu beriman daripada aku. Jalan yang menuntut aku untuk lebih banyak memberi dari menerima.. Mereka sudah berada di’sana’ bersuka ria.Aku pula, bagaimana?
“The more you give, the more you will get”. Sesungguhnya kejayaan itu datang dengan usaha DAN pengorbanan. Bukankah sudah diajarkan kepada kita melalui kalam Tuhan bahawa dibalik setiap kesusahan itu, pasti ada kejayaan (surah al-Insyirah). Keyakinan kita kepada pesanan dan ajaran daripada Allah swt ini seharusnya menjadi pemberi semangat untuk kita terus berusaha tanpa langsung berfikir untuk berhenti berharap.
Berusahalah, bersusah-payahlah, dan belanjakanlah harta,tenaga dan masa sebaiknya. Kerana sesungguhnya Allah akan menggantikannya semula. Dan kerana sesungguhnya janji Allah itu adalah PASTI untuk meraih kejayaan yang kekal abadi.
Segala kenangan di bumi ini akan menjadi kisah yang bakal diwariskan pada keturunan yang akan datang. Jadi ukirlah kisah ini sehebat mungkin. Sebersih mungkin. Jangan dicemari dengan sia sia. Masa untuk mencari hala tuju baru,buang segala kegelapan silam. Bagiku inilah kaedah bersyukur yang sebenarnya..
No comments:
Post a Comment