Apabila diri semakin hampir dengan fasa kelahiran, bakal ibu seharusnya sudah menyiapkan barangan kelengkapan diri. Sebaik-baiknya, lakukan persiapan ketika kandungan mencecah usia tujuh bulan. Ia sebagai persediaan jika terpaksa bersalin awal.

1.    Kad pengenalan diri
Jangan pandang remeh ya! Kalau tiada sukar melakukan semua urusan.

2.    Kad pemeriksaan kesihatan ibu ketika hamil
Kad ini perlu sentiasa dibawa ke mana-mana terutama pada minggu-minggu terakhir.

3.    Kad insurans kesihatan
Pastikan anda sentiasa meletakkannya di dalam dompet.

4.    Bantal kecil
Semasa sakit kontraksi menyerang, anda perlukan keselesaan. Bantal kecil milik sendiri mungkin boleh menenangkan anda.

5.    Tuala muka
Tuala muka amat membantu semasa kesakitan kontraksi menyerang. Ia boleh digunakan untuk mengelap peluh selain boleh digigit bagi mengurangkan kesakitan.

6.    Bahan bacaan
Semasa menunggu proses pembukaan serviks anda punya banyak masa terluang. Bagi mengurangkan kebimbangan, redakan ia dengan membaca.

7.    Gula-gula berangin
Rasa mual dan ingin muntah boleh terjadi biarpun anda kini dalam proses kelahiran. Bagi mengatasinya, hisaplah gula-gula berangin.

8.    Pakaian untuk pulang ke rumah
Jangan lupa membawa pakaian yang sesuai untuk dipakai ketika hari anda dan bayi dibenarkan pulang ke rumah. Sebaik-baiknya, pakaian yang anda biasa pakai ketika usia kandungan enam bulan dahulu.

9.    Coli menyusu
Muatkan dua atau lebih coli menyusu di dalam beg yang bakal dibawa ke hospital. Coli ini penting kerana ia mampu memberi sokongan kepada payu dara yang mungkin bengkak.

10.Pad payu dara
Ia untuk mengatasi masalah susu meleleh dan mengelakkan kesan lelehan di baju ibu.

11.Selipar
Pada awal fasa kelahiran, anda digalakkan banyak bergerak bagi merangsang bayi cepat ‘turun’. Pemakaian selipar lebih selesa dan mudah.

12.Stoking
Ibu selepas melahirkan bayi akan berasa sejuk kesan daripada proses kelahiran. Stoking dapat mengurangkan masalah kesejukan.

13.Tuala wanita
Untuk lebih selesa, seeloknya bawa sendiri tuala wanita. Disarankan jenis khusus wanita bersalin, overnight atau yang boleh beri perlindungan maksimum kerana banyak darah keluar di hari awal kelahiran.

14.Seluar dalam pakai buang
Penggunaannya sangat praktikal terutama jika anda melahirkan secara pembedahan caesarean.

15.Tuala mandi
Mungkin ada di kalangan anda lebih selesa menggunakan barangan peribadi berbanding yang disediakan oleh hospital. Jadi, sediakanlah sehelai tuala untuk digunakan selepas anda mandi wiladah nanti.