Bank Islam sumbang zakat RM7,000 bantu penuntut Politeknik Port Dickson
|
Faisal Jaafar (depan empat dari kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM7,000 kepada Mohd. Kharir Mohd. Ibrahim pada majlis penyerahan bantuan zakat di Politeknik Port Dickson, semalam. |
TELUK KEMANG 10 Feb. - Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) memperluaskan tanggungjawab sosialnya dengan menyalurkan sumbangan zakat sebanyak RM7,000 untuk diagihkan di kalangan penuntut Politeknik Port Dickson kurang berkemampuan di sini hari ini.
Pengurus Wilayah Selatan BIMB, Faisal Jaafar berkata, sumbangan wang zakat itu merupakan tanda keprihatinan dalam usaha membantu golongan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian mereka.
''Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka disamping mampu menyuntik semangat agar mereka sentiasa bermotivasi dalam menuntut ilmu," ujarnya.
Faisal berkata demikian ketika majlis penyerahan bantuan kepada seramai 25 pelajar berkenaan di Politeknik Port Dickson di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Politeknik Port Dickson, Mohd. Kharir Mohd. Ibrahim.
Jelas Faisal, inisiatif tersebut juga seiring dengan hasrat pihak Politeknik dan kerajaan dalam usaha membangunkan modal insan yang cemerlang ke arah melahirkan pelapis pemimpin negara pada masa hadapan.
''Diharap ia dapat membantu merancakkan lagi program kebajikan yang dijalankan oleh pihak Politeknik ,selain mengukuhkan lagi hubungan kerjasama yang sedia terjalin antara kedua pihak," katanya.
Tambahnya, setakat ini Bank Islam telah memberikan sumbangan zakat berjumlah RM 110,000 kepada pelajar kurang bernasib baik di 27 Politeknik seluruh negara.
Sementara itu, bagi penerima sumbangan Norashikin Muslim, 23, pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik, sumbangan yang diberikan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan pengajiannya.
Katanya, kesemua kos perbelanjaan yang diperlukan telah ditanggung oleh kakaknya yang menetap di Kuala Lumpur memandangkan ibu dan bapanya telah meninggal dunia lima tahun dulu.
''Mujurlah kakak dapat membantu saya meneruskan pelajaran dan saya amat berterima kasih atas sumbangan ini kerana ia boleh mengurangkan beban saya," ujarnya.
Seorang lagi penerima, Mohd. Naim Nazri, 22, dari jurusan Diploma Teknologi Pembuatan, berkata, duit yang diterima dapatlah menampung kos yuran peperiksaan.
''Saya amat berterima kasih kerana bantuan yang diberikan setidak-tidaknya dapatlah mengurangkan beban yang ditanggung selama ini kerana pendapatan bapa hanya melalui wang pencen yang diterima pada tiap-tiap bulan," ujarnya.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0211&pub=utusan_malaysia&sec=Kampus&pg=ka_01.htm&arc=hive
--
[Download senarai buku Stormreaders]
disini: http://senaraibukustormreaders.blogspot.com
[Susu Kambing Segar Perisa Coklat/Yogurt] skudaisusukambingsegar.blogspot.com/