Sunday, November 23, 2008

Tingkatkan iman dengan alam

Tingkatkan Iman Dengan Alam
www.iLuvislam.com
oleh: fazirah

Sesungguhnya Allah bahagikan kita kepada 3 komponen iaitu rohani, jasmani dan akal. Kita diamanahkan untuk menjaga ketiga-tiga komnponen ini dalam rangka untuk menjadi insan yang bertaqwa. Dari segi jasmani, kita hendaklahmenjaga pemakanan dengan memakan makanan yang berzat dan seimbang dalam masa yang sama kita perlu bersenam untuk membantu badan kita sentiasa sihat. Untuk akal, kita belajar dan berfikir untuk memenuhi tuntutan aqli . Semantara itu, untuk roh kita perlu penuhi dengan bekalan sebagaimana perut yang sentiasa memerlukan makanan. Terutama sekali bila mana kehidupan kita yang dari sehari ke sehari sentiasa dipenuhi dengan kegelapan jahiliyah. Jadi roh perlukan kekuatan untuk melalui suasana-suasana kegelapan yang pekat ini. Keperluan roh hendaklah sentiasa dilazimkan dengan baca Qur’an, berzikir, iman yang subur.

Hakikat nilai insan disisi Allah adalah Allah menilai hamba yang hebat adalah hamba yang bertaqwa. Allah tidak pandang seseorang itu melalui kepandaian, kekuatan jasmani, atau kecantikan. Kenapa kita riadah, kenapa kita makan, kenapa kita menuntut ilmu adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan keimanan dan ketaqwaan di sisi Allah. Bila kita perhatikan keindahan alam yang luas terbentang, kita dapat melihat kekuasaan Allah yang Maha Hebat. Penciptaan yang unik dan berbeza-beza. Kalau kita cari daun yang terdapat pada sebatang pokok, dapatkah kita temui daun yang betul-betul serupa dan sama. Begitu bijaksananya Allah menciptakan semua ini.

Cubalah kita berinteraksi denga alam kita dapat merasai hebatnya Allah jadikan alam. Marilah kita sama-sama merenung ayat suci Al-Quran. Ayat suci di mana sewaktu Allah turunkan ayat ini kepada Rasulullah SAW, baginda menangis sedih. Andailah semua manusia faham ayat ini, Surah Ali Imran:190-194

190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;

191. (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

192. Wahai Tuhan kami! sebenarnya sesiapa Yang Engkau masukkan ke Dalam neraka maka Sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang Yang zalim tidak akan beroleh seorang Penolong pun;

193. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) Yang menyeru kepada iman, katanya: ` berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka Kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada Kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah Kami bersama orang-orang Yang berbakti;

194. Wahai Tuhan kami! berikanlah kepada Kami pahala Yang telah Engkau janjikan kepada Kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan Kami pada hari kiamat; Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji".

Allah hamparkan bumi kepada kita sebagai sebuah kitab yang terbuka sedangkan Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang tertutup. Apa yang Allah ceritakan dalam Al-Quran, Allah hamparkan kepada kita dalam bentuk yang paling nyata dan jelas. Di dalam Al-Quran Allah ceritakan bahawa Allah Maha Menghidupkan, Allah Maha Menjadikan dan Allah Maha Mematikan. Kepercayaan kita terbina dengan melihat kejadian alam. Allah menjadikan daripada ada kepada tidak ada, Allah menjadikan dengan ketentuanNya pada suatu masa sebatang pohon berbuah dan pada satu ketika kemudian pohon tersebut mati. Setelah itu Allah tumbuhkan semula pohon yang baru bagi menggantikan pohon yang lama. Begitulah kitaran alam yang Allah dah susun.

Oleh itu, marilah kita perhatikan sekeliling kita bagaimana burung boleh terbang, ikan berenang di lautan, keunikan ular dan cacing bergerak tanpa kaki. Allah Maha Berkuasa yang menjadikan semua ini. Allah boleh menghidupkan dan mematikan dan tidak mustahil Allah boleh menjadikan dunia ini kiamat. Telah disebutkan di dalam Al-Quran yang mulia bahawa Allah menjadikan alam ini sebagai kitab yang terbuka kerana Allah berfirman bahawa apa yang Allah telah janjikan itu benar, malaikat itu benar, hari akhirat itu benar, rasul-rasul itu benar, Al-Quran itu benar.

Allah boleh menjadikan dan Allah boleh memusnahkan. Contohnya kita lihat peristiwa tsunami. Siapa sangka air yang lembut itu boleh memusnahkan. Kita lihat sendiri dari sudut sains, air yang lembut sekiranya diletakkan di dalam freezer peti sejuk, maka air akan bertukar sifatnya daripada lembut kepada keras. Renungkan betapa uniknya ciptaan dan kekuasaan Allah.

Cuba kita perhatikan betapa damainya mata memandang rimbunan pohon-pohon yang kehijaun, tenangnya langit membiru yang terbentang luas memayungi kita. Cuba bayangkan sekiranya Allah jadikan langit berwarna merah dan pokok berwarna jingga, apakah perasaan kita? Gusarkah kita melihat warna-warna yang tidak tenang? Dari situ kita dapat lihat betapa sayangnya Allah pada kita, betapa Allah sangat memahami keperluan dan kehendak hati kita denagn member ni’mat yang macam-macam kepada kita. Betapa kita dapat merasai satu perasaan yang indah saat kita memandang langit yang biru, laut yang terbentang luas dan pohoh-pohon yang segar merimbun.

Biarkanlah akal kita berfikir tentang ciptaan Allah dan kejadian alam dikala berdiri, duduk atau berbaring supaya setiap amalan dan setiap nafas kita dihitung sebagai ibadah supaya tidak sia-sia kehidupan kita di sisi Allah. Syed Qutb menerangkan bahawa orang-orang mu’min kagum terhadap ciptaan Allah dan khusyu’ beribadah kepada Allah sehingga timbul perasaan takut kepada Allah lantas mereka berdoa, “ Ya Allah, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau lindungilah kami dari azab neraka”

Allah jadikan diri kita sebaik-baik kejadian. Allah memberi kita terlalu banyak ni’mat dan kelebihan. Malah, Allah telah jadikan bumi ini untuk tunduk kepada manusia. Cuba kita bayangkan jika Allah perintahkan air yang turun ke bumi itu memilih orang-orang beriman sahaja menggunakannya bagaimanalah jadinya. Apabila orang yang tidak beriman kepada Allah menggunakan air, maka air akan bersuara “ Aku tidak mahu melayan dan memenuhi hajat engkau kerana engkau tidak beriman kepada Allah, engkau tidak boleh menggunakan aku kerana engkau melupakan Allah..” Bayangkan bumi yang kita pijak ini marah bila orang yang tidak beriman berpijak di atasnya “ Engkau tidak beriman, aku tidak redha kakimu berpijak padaku”. Dari situ kita dapat lihat bagaimana hebatnya kasih sayang Allah. Betapa Rahman dan Rahim Allah terhadap sekelian makhlukNya.

Kita sebagai manusia, di mana kita letakkan Allah di hati kita?? Berapa banyak kasih sayang kita kepada Allah jika benar kita cintakan Allah?? Oleh itu, apabila kita merenung alam, bertambahlah iman kita kepada Allah, betapa kita merasa kerdilnya kita di sisi Allah. Hanya Allah yang berkuasa terhadap alam ini. Macam mana kita nampak alam ini hebat sebegini dan macam mana kita nak kaitkan rasa hebat kita kepada Allah. Bagaimana kita hendak timbulkan dalam hati kita kehebatan ciptaan Allah, bagaimana kita gunakan akal kita untuk berfikir sehingga meresap rasa kehebatan itu dalam hati kita. Adakah kita melihat alam ni hanya untuk seronok-seronok sahaja?, adakah hanya melafazkan Subhanallah sahaja tanpa kita ambil pelajaran daripadanya? Tidak cukup hanya lafaz Subhanallah dan kita pun rasa tak puas dengan ucapan-ucapan tersebut apabila kita memerhatikan kehebatan-kehebatan yang Allah beri.

Cubalah tingkatkan keimanan kita kepada Allah dengan mengambil isi pelajaran yang dapat dicungkil dari isi alam. Wallahu ‘alam.

Tuesday, November 18, 2008

Siapa Muslim, Apa itu Islam??

Sebagai seorang yang muslim, tau tak kenapa agaknya kita kena ada rasa bertuah menjadi muslim? Apa sebenarnya hakikat muslim yang sebenar? Kita mengaku kita seagai seorang muslim, tapi sejauh mana agaknya ke’muslim’an kita itu?

Mari kita tumpukan pemikiran kita untuk mengetahui apakah perkataan ‘Muslim’ itu. Adakah manusia menjadi Islam sebab dilahirkan dalam Islam? Adakah muslim itu nama sesuatu bangsa? Adakah seseorang itu muslim dengan sebab dia anak atau cucu seorang muslim? Adakah seorang itu diperanakkan sebagai muslim sebagaimana seorang Brahmin diperanakkan sebagai Brahmin? Adakah kita muslim sebab kita dilahirlan di dalam masyarakat muslim?

Apakah jawapan kita? Tentu TIDAK bukan? Orang yang sedemikian bukanlah muslim yang sebenarnya. Seseorang itu muslim sebab dia menerima Islam. Kalau ia menolak Islam, dia bukan lagi muslim. Samada seseorang itu Negro, Cina, India atau apa-apa bangsa sekalipun, dia akan diterima masuk ke dalam masyarakat Islam bila dia mengakui dan menerima akan Islam. Akan tetapi, seseorng itu akan disingkirkan daripada masyarakat Islam apabila dia menolak atau menidakkan Islam walaupun dia adalah anak seorang Sayyid sekalipun.

Mari kita kembali merenung ke dalam diri kita semula, betapa agung Allah yang maha pengasih dan penyanyang menjadikan kita sebahagian daripada limpahan kasih sayangNya. Kita dilahirkan menjadi seorang Islam walaupun tanpa diminta. Ini adalah bukti kasih sayang Allah. Apa agaknya yang akan terjadi sekiranya kita dilahirkan dalam keadaan bukan Islam? Betapa beratnya perjuangan yang bakal kita lalui bagi bertauhid dan beribadat kepada Allah sekiranya Islam tiada dengan kita sejak kita dilahirkan.

Tiada sikap yang lebih baik dapat kita lakukan selain bersyukur kepada Allah atas limpahan kurniaNya dalam kehidupan ini. Sebagai seorang muslim kita patut bersyukur atas pemberian anugerah terbesar dalam hidup ini iaitu ni’mat Islam dan iman. Faktanya, tidak semua manusia lahir sebagai umat Islam. Tidak semua manusia beriman. Ini bererti keimanan dan keislaman adalah anugerah yang sebaik-baiknya kita syukuri. Kedua perkara ini merupakan modal demi mencapai kehidupan yang paling baik di dunia dan akhirat.

Bagi sebahagian besar di antara kita yang mendapat status muslim melalui perjuangan yang sangat hebat kerana dilahirkan oleh ibu bapa yang bukan muslim, tentu sudah mengetahui dengan baik keunggulan dan kehebatan Islam sehingga ia menjadi pilihan hidup. Islam rela dipilih walaupun terpaksa meninggalkan segala kemewahan dan kesenangan sebelumnya. Kenikmatan mempertahankan Islam jauh lebih tinggi berbanding kenikmatan dunia.

Bagi sebahagian besar diantara kita yang mendapat status muslim secara percuma kerana kasih sayangNya kepada kita yang dilahirkan daripada keluarga muslim, tentu kita tidak boleh berbangga dengan status sahaja. Kita perlu membuktikan keislaman kita dengan bersungguh-sungguh. Anugerah Allah itu tidak ada nilainya apabila kita tidak berusaha mensyukurinya.

Kita sekarang sudah tahu bahawa seseorang itu muslim bilamana dia menerima Islam. Walaubagaimanapun, timbul satu persoalan di kepala kita. Apakah erti menerima Islam itu? Bagaimana kita boleh dianggap atau dikatakan menerima Islam? Memadaikah kita ini dikatakan menerima Islam hanya dengan berkata:”saya telah menjadi seorang muslim, atau saya telah menerima Islam”? seseorang itu dikatakan muslim apabila dia menerima keislamannya itu dengan sedar dan sengaja(tanpa dipaksa) dan beramal serta bertindak sesuai dengan kehendak Islam itu sendiri.

Allah menjelaskan di dalam surah Al-Bqarah,ayat 208:

“ Hai orang-orang yang beriman masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu”

Islam adalah perhambaan manusia yang sepenuhnya terhadap Allah. Ini bermakna, dia tidak menjadi hamba kepada dirinya, nenek moyangnya, atau keluarnya, dan bangsanya, atau tuan guru dan ulama’nya.. ianya adalah perhambaan kepada Allah. Dalam erti kata lain, kemerdekaan hakiki yang dirasai seseorang manusia daripada sebarang keburukan dan kerosakan.

Ingatlah keimanan dan keislaman itu bagaikan tanaman. Apabila dipelihara dengan baik, tanaman tumbuh dengan baik. Sebaliknya, apabila dibiarkan, tanaman akan layu dan lama kelamaan akan mati.

Rujukan:

1. Menjadi Muslim Terbaik, Aa Gym

2. Iman, Islam, Jihad, Sayyid Abul A’la Maududi

Friday, November 14, 2008

Usah putus asa

Putus asa?? Oh..No..No..

“Taqdir itu terletak pada hujung usaha manusia,

asas berprasangka baik adalah tunduk pada taqdir”

Musim peperiksaan sedang berlangsung. Masing-masing sibuk mempersiapkan diri untuk berjuang di dewan peperiksaan..


‘Cubalah kau terus mencuba, lupakan segala duka lara, usah putus asa..

setiap dugaan menimpa pastikan nanti ada hikmahnya..usah putus asa..’

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Banyak kejadian tidak dijangka yang boleh berlaku dalam hidup kita. Realitinya tiada siapa yang tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan walau sedetik. Ramai orang terjerumus ke dalam kekecewaan apabila berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka secara tiba-tiba. Ambil contoh, gagal dalam sesuatu peperiksaan yang amat penting. Seandainya sesuatu telah menjadi matlamat mereka, mereka tidak berupaya berhadapan dengan situasi di luar jangkaan lantas mengalami dukacita yang teruk, disebabkan mereka telah meletakkan segala harapan dan matlamat terhadap berlakunya rantaian kejadian seperti yang mereka gambarkan.

Apa yang patut kita ketahui dengan yakin ialah apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan seseorang telah ditentukan sekian lama sebelum mereka dilahirkan. Dalam perkataan lain, semua kejadian dalam kehidupan seseorang telah ditentukan sejak azali. Apabila sampai hari dan masa yang ditentukan, beliau akan mengalami kejadian tersebut, kerana Allah telah menentukan bahawa ia sebahagian dari taqdir mereka. Dengan ketentuan tersebut, ia tetap akan berlaku.

Beginilah caranya Allah menentukan semua kejadian. Pada masa itu, manusia mula menggunakan logik berikut:”Kalaulah saya idak bermain-main dan menumpukan pada pelajaran”. Rungutan begini cukup salah dan tidak betul, lebih-lebih lagi, menjurus kepada rungutan dan kekesalan yang tiada penghujung. Walaupun banyak sebab mungkin ditemui berlakunya sesuatu kejadian, realitinya ialah, kejadian dan penyebabnya telah ditentukan oleh perjalanan taqdir.

“OK, baik, apa yang boleh saya buat? Kalau semuanya sudah ditentukan dalam taqdir saya dan Allah mengtahui mengenainya, bagaimana sepatutnya sikap saya apabila kejadian ini berlaku?”

Menurut Al-Qur’an, cara yang terbaik untuk bertindak dan sebaik-baik akhlaq adalah tunduk pada taqdir kita dan bersikap positif dalam semua perkara, tidak terjerumus kearah dukacita dan putus asa, untuk menjadi hamba yang bersyukur dalam semua keadaan.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal” (Surah At-Taubah:Ayat 15)

Sesungguhnya Allah pencipta sekalian ‘alam dan apa yang ada didalamnya, dan termasuk semua benda yang bernyawa dan tidak bernyawa, oleh itu Dia jua adalah pencipta setiapkejadian daripada sekecil kejadian hingga sebesar kejadian. Al-Qur’an memaparkan kebenaran ini dalam ayat berikut:

“(Yang memiliki sifat-sifat yang) sedemikian itu adalah Allah Tuhan kami;tidak ada Tuhan(yang berhak disembah) selain Dia;Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia; dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu”.(Surah Al-An’am:Ayat 102)

Setiap halangan terjadi kerana Allah berkehendakkan sesuatu yang baik untuk orang-orang yang beriman. Walaupun sesetengah kejadian zahirnya negatif, setiap orang yang beriman tahu ada hikmah disebalik yang berlaku. Sekiranya semua manusia faham akan keperluan untuk tunduk sepenuhnya, maka mereka mesti mengambil Allah sebagai satu-satunya Wali atau Penolong, dan menghadap kepadaNya secara tulus dan ikhlas yang sempurna.

Perkara yang paling pokok berkaitan akhlaq yang dikehendaki oleh Allah ialah untuk setiap orang yang beriman untuk tidak berduka atau bersikap negatif atau terjerumus kea rah putus asa walau apa sekalipun yang mereka hadapi.

Putus asa menunjukkan kekufuran atau iman yang lemah, dan adalah akibat dari memahami bahawa setiap kejadian yang terjadi itu adalah menurut Qadha’Nya. Allah menarik perhatian kita terhadap kesilapan ini, kerana dibawah pengaruh putus asa terdapat emosi negatif dan kewarasan fikiran yang bertentangan dengan nilai Al-Qur’an. Sikap ini dilarang kerana Allah mengajar kita supaya sentiasa bersikap positif dan bersangka baik atas setiap perkara yang berlaku.

Ketika berhadapan dengan keadaan yang paling getir atau bahkan sesuatu yang di luar jangkaan, seperti tercedera atau kehilangan semua yang ada, orang yang beriman akan menunjukkan sikap kepatuhan dan kesabaran yang luar biasa, kerana mereka sedar Allah lah pencipta semua kejadian. Menyedari Dia yang menguasai sesuatu, menyerah kepada putus asa adalah satu kesilapan, kerana kejadian itu tetap akan berlaku samada seseorang itu suka ataupun tidak. Lebih dari itu, melihat setiap yang berlaku kerana sesuatu hikmah yang baik. Bagi mereka yang berbuat demikian, akan melihat setiap kejadian ciptaan Allah adalah sempurna dan tiada cacat cela, dan sikap begini membolehkan mereka mencapai keimanan yang lebih mendalam.

Terdapat perbezaan antara pengharapan yang baik dan putus asa. Pengharapan yang baik selari dengan sebab dan ‘aqal manakala putus asa sama sekali berlawanan dengannya. Seseorang mungkin gagal dalam ujian walaupun telah belajar bersungguh-sungguh. Mari kita andaikan bahawa dia terkejut dan terjerumus ke lembah berputus asa, oleh kerana dia telah bekerja keras tetapi masih gagal. Beliau tentunya tidak mendapat manfaat dari emosi yang sedemikian. Tekanan dan masalah yang terhasil tidak elok kepada jasad dan rohnya.

Allah berkehendakkan kebaikan lain untuknya. Besar kemungkinan kerjaya yang dipilihnya bersumber kepada masalah dan kesusahan kepada masa depan beliau. Boleh jadi juga beliau akan memilih kerjaya lain yang lebih baik pada untuk masa akan datang bersesuaian dengan daya ketahanan dan kesusahan yang pernah ditanggung dahulu.

Disepanjang kehidupan manusia,mereka menghadapi peristiwa yang kelihatannya tidak memberi sebarang makna; gagal mendapat kerja yang disukai, hilang wang yang sangat diperlukan, atau hilang sesuatu yang amat dihargai. Peristiwa seumpama itu mungkin berlaku pada semua orang. Malah, Allah telah menjelaskan bahawa manusia diuji melalui jiwa dan apa yang mereka miliki. Dalam satu hadith , Nabi kita menjelaskan dengan terang:

“Apa sahaja yang diambil oleh Allah ialah untukNya, dan apa sahaja yang diberi adalah untukNya. Apa sahaja disisiNya mempunyai tempoh masa yang ditetapkan(di dunia ini), manusia sepatutnya sabar dan mengharapkan balasan Allah”(Hadith riwayatAl-Bukhari)

Oleh itu, mereka yang tetap sabar akan beroleh kebaikan, manakala yang menentang akan berputus asa dan kalah.

Sangat penting untuk memahami bahawa kepentingan berbaik sangka dan sabar adalah untuk mendapatkan syurga. Untuk tetap bersikap positif, adalah diwajibkan bersikap seperti yang ditunjukkan dalam ayat di bawah ini:

“…..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”(Surah Yusuf:Ayat 87)

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

Dunia ini hanyalah tempat rehat yang sementara untuk manusia, kerana tempat tinggal yang sebenarnya adalah diakhirat. Kehidupan di dunia ini dicipta agar manusia menginginkan kehidupan akhirat, oleh itu dunia dipenuhi dengan kekurangan supaya manusia tidak terlalu terikat kepadanya.

LETAKKANLAH DUNIA DITANGANMU, BUKAN DIHATIMU.

“Wahai Allah, Aku berserah kepadaMu, kuamanahkan segala hal-ehwalku kepadaMu, dan bergantung kepadaMu untuk rahmat dengan harap dan takut kepadaMu”. (Hadith riwayatAl-Bukhari)

Rujukan: Hopefulness in the Qur’an; Harun Yahya(2004)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...